Elemen insani perlu dalam rekabentuk Pangsapuri Kos Rendah

YB DS Anwar mengesyorkan model Maju Jaya digunakan untuk flat kos rendah lain


Penghuni flat sangat berterima kasih kerana terpilih untuk program kerajaan negeri

PETALING JAYA 14 Mei – Kerajaan Selangor hari ini melancarkan program pemulihan bandar untuk menaik taraf penginapan kos rendah yang dibina dalam keadaan serba kekurangan oleh kerajaan Umno-Barisan Nasional yang lalu.

Pengubahsuaian itu akan membabitkan penerapan ciri-ciri insani termasuk kawasan permainan kanak-kanak, ruang istirehat bagi penghuni dengan reka bentuk kediaman bertingkat yang moden dan mesra pengguna, kata Penasihat Ekonomi Selangor Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Bangunan pangsapuri terbabit juga akan dicat semula dengan warna yang dipersetujui bersama oleh penduduk terbabit, tambah beliau, ketika melancarkan projek printis program itu di Pangsapuri Taman Maju Jaya, Petaling Jaya Selatan.

Projek itu akan diperluaskan ke seluruh negara jika Pakatan Rakyat diberi mandat menubuhkan kerajaan persekutuan pada pilihanraya umum akan datang, tambah Anwar.

“Tan Sri Khalid Ibrahim mengungkap istilah pembangunan ini dengan cukup tepat iaitu ‘Merakyatkan Ekonomi’ kalau rakyat tidak dapat pembangunan sebutlah pembangunan berbillion sekali pun, tetapi kita sebagai rakyat berpuluh tahun pun masih seperti ini,” katanya.

Anwar menegaskan bahawa program pemulihan dan pembaharuan kawasan perumahan bandar amat penting dalam menjana ekonomi negeri sekaligus meningkatkan kualiti hidup penduduk menerusi pengurusan aset yang lebih sistematik dan telus untuk kebajikan rakyat.

Projek printis pembaharuan Pangsapuri Taman Maju Jaya dibiayai sepenuh oleh Majlis Perbandaran Petaling Jaya (MBPJ) dan pihak swasta.

Sektor swasta turut menyumbang khidmat perunding dan reka bentuk pemuliharaan secara percuma sebagai tanggungjawab sosial mereka.

Anwar berkata kejayaan projek itu mampu mengubah landskap pusat-pusat bandar jika dilaksanakan secara menyeluruh dan berkesan.

“Taman Maju Jaya, Projek Perintis ini adalah projek terpenting untuk Selangor, kemudian kalau kita perintah Putrajaya saya akan ambil projek ini sebagai projek perintis di seluruh Malaysia,” katanya.

Hadir sama, Adun Taman Medan, Haniza Talha, Ahli Parlimen Petaling Jaya Selatan, Hee Loy Sian, Ahli Parlimen Subang, Sivarasa Rasiah, Ahli Majlis MBPJ Lateefah Koya.

Anwar bersama Adun dan Ahli Parlimen yang hadir kemudian mengecat rumah pangsapuri untuk menandakan pelancaran program itu.

Lebih 500 penduduk setempat hadir di majlis itu.

Adun Taman Medan, Haniza Talha berkata projek itu diilhamkan apabila melihat kerajaan terdahulu membina pangsapuri yang tidak dilengkapi elemen insani sehingga mencetuskan pelbagai masalah sosial dan jenayah.

Pembinaan pangsapuri ketika itu tidak mengambil kira realiti kehidupan berkeluarga besar tetapi dibangunkan hanya untuk mengisi program sifar setinggan yang akhirnya juga gagal dicapai, kata beliau.

“Flat kos rendah yang kebannyakannya didirikan dalam kempen sifar setinggan yang dilancarkan oleh pentadbiran yang lepas. Oleh kerana projek tersebut tergesa-gesa untuk segerakan pelaksanaan kempen itu, maka banyak masalah sosial dan perumahan yang telah timbul dan kesannya berkekalan hingga hari ini.

“Kita akan bersihkan dan baik pulih keadaan ini di seraya Selangor dan bukannya di Taman Medan sahaja,” kata beliau

——————————————————————————–

Blok A, B Medan Maju Jaya juga ingin Ceriakan Kawasan

Bersama penduduk Medan Maju Jaya


Mei 2011 – Perjumpaan antara ADUN Tmn Medan dan penghuni pangsapuri Medan Maju Jaya Blok A dan B. Pertemuan tersebut bagi membincangkan cara menaiktarafkan blok A dan B. Kedua-dua blok yang mengalami kerosakan dan terbiar tanpa penyelenggaraan oleh pihak pemaju atau ‘management company’.

Malam tersebut telah mendapat persetujuan daripada penduduk untuk menaiktarafkan blok A dan B dengan berkongsi kos antara penghuni dan pemaju (akan berbincang dengan pemaju).

Perkara lain yang dibangkitkan; membaikpulih salur air hujan yang sudah rosak, bumbung yang bocor dan masalah pembentungan. Aduan lain, terdapat aktiviti penagihan dadah yang dilakukan di dalam bangunan flat semasa penghuni flat keluar kerja di siang hari.

Semua pandangan dan cadangan telah diambil maklum. ADUN meminta seluruh penghuni memberi kerjasama dalam menjaga kesejahteraan dan keselamatan kawasan sekitar. Pihak Rukun Tetangga boleh mainkan peranan dalam mengendalikan rondaan bagi menjaga keselamatan kawasan sekitar.

Skim Pemilikan Kediaman Persendirian

Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) hari ini telah meluluskan ‘Skim Pemilikan Kediaman Persendirian’ yang bertujuan memudahkan rakyat Selangor memiliki kediaman dengan bayaran premium yang fleksibel.

Skim yang berkuatkuasa hari ini 1 Jun 2011 adalah hasil kajian bersama pejabat tanah dan galian, pejabat daerah, dan pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri yang dijangka dapat melengkapkan Skim Pemberian Geran yang bermula sejak tahun lepas.

Kajian telah dibuat setelah Kerajaan Negeri mendapati bahawa tidak ramai rakyat Selangor dapat menikmati sepenuhnya skim pemberian geran kerana tidak mampu membayar premium.

Melalui skim ini, rakyat yang tidak mampu menjelaskan keseluruhan premium tanah boleh menjadi pemilik hartanah yang sah dengan hanya membayar bayaran sejumlah RM1,000. Mereka yang memilih cara ini perlu menjelaskan keseluruhan premium (mengikut harga semasa) jika hartanah itu dipindahmilik, dipajak atau digadai.

Skim ini juga memberi peluang kepada mereka yang membayar premium penuh dalam tempoh enam (6) bulan daripada tempoh notis dikeluarkan untuk diberikan diskaun sebanyak 30% secara automatik.

Skim ini boleh dipakai untuk permohonan pemberimilikan baharu, pemberimilikan disebabkan oleh tamat tempoh pajakan, lanjutan tempoh pajakan dan pemutihan langgar syarat kegunaan tanah. Bagaimanapun pindahmilik melalui mahkamah, turunmilik dan perwarisan adalah dibenarkan.

Skim ini hanya ditawarkan kepada satu pegangan hak milik kediaman persendirian sahaja dan tidak boleh dipakai untuk hartanah komersil.

Inisiatif ini adalah satu reformasi oleh pentadbiran Kerajaan Pakatan Rakyat di Selangor bagi menyelesaikan masalah rakyat dalam pemilikan hartanah. Ini adalah kali pertama sebuah kerajaan negeri di Malaysia memperkenalkan skim mudah bayar demi menggalakkan pemilikan harta persendirian.

Kerajaan negeri berharap ianya dapat menolong mengurang beban rakyat yang berdepan dengan kos sara hidup yang makin meningkat, terutamanya dengan peningkatan harga minyak dan elektrik.

Skim ini juga akan menggalakkan rakyat menjelaskan bayaran premium khususnya bagi mereka mengekalkan pemilikan apabila mereka memperbaharui pemilikan atau menyambung pajakan tanah mereka.

Ini akan meningkat bilangan pemilikan hartanah di Selangor sekaligus menaikkan pendapatan negeri melalui hasil cukai tanah yang perlu dijelaskan setiap tahun.

Skim ini akan dilancarkan sepenuhnya pada tarikh yang akan diumumkan kelak.

Skim ini merupakan satu usaha yang dibuat untuk menyenangkan rakyat dalam urusan hartanah bersama Kerajaan Negeri Selangor serta menjadikan pejabat tanah dan galian negeri Selangor lebih “mesra rakyat”.

Sebelum ini, kita telah memperkenalkan skim pemberian geran dengan memperbaiki sistem pemilikan tanah di mana pejabat daerah akan mengenalpasti rakyat yang tinggal di tanah TOL (temporary occupancy license) lebih dari 10 tahun untuk diberi hakmilik kekal dengan syarat-syarat yang telah ditetapkan.

Kerajaan juga telah memperkenalkan pusat maklumat tanah bersepadu yang membolehkan pemilik tanah memeriksa dan mengemaskini status, lokasi dan hal-hal lain yang berkaitan urusan tanah.

Kerajaan Negeri komited dengan agenda ‘Merakyatkan Ekonomi Selangor’ bagi memastikan hasil negeri di nikmati oleh semua rakyat.

TAN SRI DATO SERI ABDUL KHALID IBRAHIM
DATO MENTERI BESAR SELANGOR

Penstrukturan semula industri air di Selangor

KENYATAAN AKHBATR
18 MEI 2011
MENTERI BESAR AKAN JUMPA PENDUDUK KAMPUNG KERANDANG

Satu perjumpaan akan diadakan dengan enam keluarga yang menetap atas tanah pendudukan sementara atau tanah TOL di kampung Kerandang di Hulu Selangor bagi memastikan isu ini diselesaikan dengan cara berhemah.

Perjumpaan ini akan diadakan di Pejabat Menteri Besar, jam 12 tengah hari esok. Perjumpaan ini akan dihadiri Pegawai daearh dan Jabatan Hutan Negeri Selangor.

Kita akan mencari jalan terbaik untuk membantu penduduk ini supaya mereka tidak dipinggirkan termasuk kemungkinan memberi mereka tanah TOL ini walaupun ia termasuk tanah rezab Hutan Simpan Bukit Tarek.

Semakan yang dibuat juga mendapati hanya enam keluarga yang menetap atas tanah TOL ini. Justeru dakwaan yang mengatakan lebih 100 keluarga tinggal di kampung ini adalah kurang tepat.

Kita juga sedang mengemas kini senarai nama mereka yang telah diberikan tanah TOL ini dan juga senarai mereka yang telah memohon pemilikkan tanah. Nama-nama ini kita akan paparkan di Pejabat Tanah dan Daerah Hulu Selangor untuk disemak oleh orang ramai.

TAN SRI ABDUL KHALID IBRAHIM
DATO’ MENTERI BESAR SELANGOR

==================================================================

KENYATAAN AKHBAR
18 MEI 2011
SELANGOR AKAN ADAKAN MESYUARAT KHAS BAGI MENYELESAIKAN PROSES PENSTRUKTURAN SEMULA INDUSTRI AIR

Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) hari ini bersetuju untuk mengadakan satu mesyuarat khas bagi membincangkan penyelesaian isu penstrukturan semula industri air dengan Kerajaan Persekutuan yang mungkin akan membawa hasil yang positif tidak lama lagi.

Mesyuarat Khas ini akan diadakan pada minggu pertama Jun ini dan antara agenda yang dijadualkan dibincangkan ialah pembinaan Loji Rawatan Air Sungai Langat atau Langat 2 yang mana Kerajaan Negeri akan membuat keputusan sama ada perlu mengeluarkan arahan pembangunan dalam masa yang terdekat.

Kerajaan Negeri tetap menekankan keutamaan mesti diberikan untuk menyelesaikan penstrukturan semula industri air supaya kecekapan perkhidmatan bekalan air dapat ditingkatkan, mengekalkan tariff air pada pada kadar munasabah dan dapat meneruskan pemberian air percuma bagi setiap 20 meter padu pertama setiap bulan.

Kami telah memberikan kerja sama dan usaha terbaik bagi mempercepatkan proses penstrukturan semula yang mana pada tawaran terakhir kami telah memasukkan satu fasal yang membenarkan pemegang konsesi menggunakan Timbang tara Antarabangsa (International Arbitration) jika tidak setuju harga yang ditawarkan.

Amat malang apabila Kementerian Tenaga, Teknologi Hijau dan Air serta dua pemegang konsesi, SYABAS dan Puncak Niaga dilihat lebih berminat menakut-nakutkan rakyat kononnya akan berlaku krisis air pada 2014 untuk mendesak Kerajaan Negeri mengeluarkan arahan
pembangunan bagi projek Langat 2.

Kerajaan Selangor akan terus berkerjasama dengan semua pihak dan tidak membantah sama sekali pembinaan Langat 2 tetapi tetap dengan pendirian bahawa projek ini patut dilaksanakan selepas isu penstrukturan air diselesaikan terlebih dahulu.

TAN SRI ABDUL KHALID IBRAHIM
DATO’ MENTERI BESAR SELANGOR


“Ubah Sekarang, Selamatkan Malaysia”

Penghantaran pulang pelajar Selangor ke Mesir bermula Jumaat ini

SHAH ALAM, 9 Mac – Seramai 996 pelajar Selangor akan berangkat pulang ke Mesir mulai Jumaat ini (14 Mac) hingga Selasa depan (18 Mac).

Kepulangan mereka membabitkan lima penerbangan.

Exco Hal Ehwal Islam, Adat-adat Melayu, Infrastruktur dan Kemudahan Awam, Datuk Hasan Ali berkata sebanyak 440 pelajar ditanggung Lembaga Zakat Selangor (LZS) sementara selebihnya ditanggung Kerajaan Negeri.

Para pelajar terbabit perlu mendaftar di Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah (Masjid Negeri) di sini antara jam 2 dan 4 petang.

Mereka akan dbawa menaiki bas menuju Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIa) pada jam 8 malam.

Hasan berkata, kos menghantar pulang pelajar membabitkan RM2,150 seorang. Setiap pelajar dibenar membawa bagasi sehingga 40 kg.

Konsep baru pemilikan rumah

SHAH ALAM 16 Jan – Kerajaan Negeri Selangor akan memperkenalkan satu konsep baru mengenai pemilikan rumah yang selari dalam Program Merakyatkan Ekonomi Selangor (MES) untuk menyelesaikan masalah polisi pemilikan dan pembinaan rumah di Negeri Selangor.

Menteri Besar Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim menyatakan keperluan perancangan sebegini perlu bagi memastikan penduduk Selangor dapat memiliki rumah mengikut kemampuan mereka.

Khalid membayangkan konsep Pakatan Rakyat (Pakatan) adalah berbeza dengan konsep biasa yang diamalkan sebelum ini, di mana segmentasi masyarakat terjadi ekoran tiada kawalan penuh mengenai pemilikan dan pembelian rumah oleh individu.

“Itu konsep kita, bukan sekat-sekat, perlu ada mobiliti kepada penduduk untuk berpindah ke tempat lain. Kalau tidak kita akan segmenkan masyarakat. Pada kita masyarakat makin lama akan makin maju sebab itu.

“Kita akan bentangkan nanti sebab itu kita katakan ‘merakyatkan ekonomi’ itu konsep yang besar,” katanya.
Beliau menyatakan demikian ketika sidang media sempena Program Menaik Taraf Kehidupan Rakyat Petaling Jaya bersama Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Taman Medan, Haniza Talha dan Ahli Parlimen Petaling Jaya, Selatan Hee Loy San.

Program naik taraf ini dijalankan bagi membantu penduduk di pangsapuri di bawah kelolaan Kerajaan Negeri Selangor dan Majlis Perbandaran Petaling Jaya dapat dicantikkan dan dibaiki sekali gus meningkatkan kualiti hidup rakyat.

Sebelum ini, kerajaan negeri telah mencuba satu polisi dalam satu projek syarikat pemaju TPPT Sdn. Bhd. di mana pembinaan rumah mampu milik untuk menggantikan rumah kos rendah. dengan keluasan 700 kaki persegi dengan harga tidak lebih dari RM65,000.

Menurut Khalid, hal ini memberi lebih kebebasan kepada pemilik untuk memiliki rumah.
Bagaimanapun Khalid menyatakan kerajaan negeri telah mempunyai pengkalan data dan rekod pemilikan rumah bagi mengelak individu membeli sewenang-wenangnya.

“Kami tidak selektif dalam hal ini… tidak semestinya orang kaya akan membelinya. Boleh jadi pembeli daripada golongan berpendapatan rendah, tapi taraf keluarga dah bertambah baik atau anak dia sudah berjaya, dia berkongsi untuk beli rumah tersebut.

“Kita akan kaji semuanya, akhirnya akan ada rumah yang cukup untuk semua orang,” katanya lagi.
Menurut Khalid lagi, perbincangan dan kajian masih dilakukan sebelum polisi yang efektif dan menyeluruh dapat dikeluarkan.

“Masalahnya yang utama ialah projek terbengkalai. Kalau tandantangani polisi pun tak selesai sebab pemaju lari. Sebab itu kita kata Selangor akan tengok secara pragmatik untuk selesaikan masalah,” katanya.

CERAH – Program Pemeriksaan Mata Percuma

Program CERAH diadakan setiap tahun di DUN Tmn Medan, khusus untuk pelajar sekolah

Antara pelajar yang sedang memilih bingkai cermin mata yang ditawarkan

Mac 2011 – CERAH, program pemeriksaan mata percuma dan cermin mata bagi pelajar-pelajar yang dipilih daripada keluarga kurang mampu. Oleh sebab CERAH banyak membantu pelajar-pelajar mendapatkan cermin mata pada harga yang murah, ia akan dikembangkan ke sekolah-sekolah dengan menawarkan cermin mata pada harga yang patut.

Program CERAH akan ke sekolah-sekolah rendah di sekitar DUN Tmn Medan tidak lama lagi.

Penyerahan cek dan sumbangan oleh ADN Tmn Medan

Penyerahan sumbangan kepada Surau Al-Akhlaqiah bagi baikpulih ceiling yang runtuh

Sumbangan kepada Rizuan yang cedera akibat kemalangan yang sebelum ini menanggung keluarga. Keluarga terpaksa tinggal di flat kos rendah

Sumbangan kepada pesakit terlantar yang baru mengalami stroke

Menziarah warga emas yang tinggal bersama seorang anak

Kupon air percuma untuk pangsapuri

Wednesday, 10 November 2010 | Ruangan: Berita

Sekurang-kurangnya 69 skim pangsapuri kos rendah melibatkan 23,093 pembeli telah dikenalpasti bagi pelaksanaan fasa pertama pemberian air percuma kepada pangsapuri kos rendah yang menggunakan meter air pukal.

Kerajaan Negeri telah melaksanakan projek perintis pemberian kupon air percuma kepada pangsapuri kos rendah bermula di Pangsapuri Sri Tanjung untuk tempoh 3 bulan mulai jun lepas. Bagi tempoh itu, RM72,480.00 diperuntukan dalam tempoh percubaan itu. Perkara berbangkit akan dikaji dan kelemahan diperbaiki supaya sistem perlaksanaan akan dapat dipertingkatkan.

Menteri Besar Selangor Tan Sri Khalid Ibrahim memberitahu,skim pangsapuri kos rendah yang telah dipilih ini adalah berdasarkan keutamaan kepada pangsapuri-pangsapuri kos rendah yang mempunyai Badan Pengurusan Bersama (JMB)/Perbadanan Pengurusan (MC) yang aktif dan berpotensi.

“Kriteria ini ditetapkan kerana Kerajaan Negeri telah mempertanggungjawabkan JMB/MC untuk menguruskan pengedaran dan pengutipan kupon kepada pembeli-pembeli bagi membantu Kerajaan Negeri dalam memastikan program pemberian air percuma melalui sisitem kupon dapat dilaksanakan dengan teratur dan berkesan.”

Tambahnya lagi, keadaan ini juga diambil berdasarkan maklum balas positif daripada pembeli Pangsapuri  Sri Tanjung dan lain-lain kawasan pangsapuri kos rendah berhubung pemberian kupon air percuma.

Bagi tujuan itu, dianggarkan sejumlah RM24.5 juta diperuntukkan setahun dibawah program Merakyatkan Ekonomi Selangor (MES) membabitkan 620 pemaju pangsapuri kos rendah di negeri ini.

Sementara itu, Kerajaan negeri sedang mempergiatkan usaha mengumpulkan maklumat skim pangsapuri kos rendah yang masih menggunakan meter air pukal bagi pelaksanaan fasa kedua pemberian kupon ini yang bermula tahun hadapan.

“Satu kempen pendaftaran terbuka akan dibuat di semua kaunter-kaunter pejabat unit Persuruhjaya Bangunan disemua pihak berkuasa tempatan”.jelas Khalid.

Melalui kempen pendaftran ini,semua pemaju,badan pengurusan bersama,perbadanan pengurusan atau mana-mana pihak yang sah mewakili skim kawasan pemajuan pangsapuri kos rendah boleh membuat pendaftaran bagi menyertai program pemberian air percuma ini.