Kepincangan BR1M – Institut Rakyat saran ke arah sistem penyaluran elektronik

7 APRIL: Laporan Ketua Audit Negara 2014[1] semalam mendedahkan bahawa 6 ribu lebih penerima Program Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) didapati menuntut lebih daripada sekali menyebabkan Putrajaya mengeluarkan kos sebanyak RM3.3 juta sepanjang tempoh tahun 2012 ke 2014. Jika kepincangan ini dapat dielakkan, kos ini sudah pasti dapat memanfaatkan lagi 6 ribu lebih penerima yang memerlukan. Institut Rakyat menyeru kerajaan mengambil serius isu keberkesanan kos (cost effectiveness) program dan menuju ke arah sistem penyaluran bantuan tunai secara elektronik.

Menurut Laporan Ketua Audit Negara 2014, BR1M disalurkan melalui dua kaedah: 1) pembayaran dikredit ke dalam akaun bank penerima; 2) pemberian baucar kepada penerima yang tidak mempunyai akaun bank untuk ditunaikan di bank-bank terpilih atau kaunter bank bergerak. Bagi BR1M 2014, sebanyak 60% penyaluran BR1M adalah secara atas talian (online) terus ke akaun bank penerima. Bagi BR1M 2015 pula, masih wujud 11.3% penerima yang tidak mempunyai akaun bank.

Laporan tersebut turut mendedahkan penunaian BR1M lebih daripada sekali ini berlaku ketika pihak bank membuka kaunter bergerak di luar talian (off line), di mana bayaran dibuat kepada penerima BR1M dengan hanya menyemak senarai nama penerima yang berjaya tanpa membuat semakan lanjut melalui sistem online database. Tanpa perkongsian data di antara bank secara langsung (live), semakan penunaian secara langsung di antara bank tidak dapat dibuat maka memberi ruang kepada segelintir penerima BR1M melakukan tuntutan bayaran lebih daripada sekali.

Meskipun mereka yang terlibat dalam penunaian BR1M lebih daripada sekali hanya 0.4% daripada jumlah penerima bagi ketiga-tiga tahun tersebut, hakikatnya kos akibat penunaian lebih daripada sekali adalah sebanyak RM3.3 juta. Jumlah ini dapat memanfaatkan sekurang-kurangnya 6600 orang jika seorang menerima RM500, ataupun 5077 orang jika seorang menerima RM650.

Malah, jika diambil kira kos pentadbiran yang terbabit samada ditanggung oleh kerajaan mahupun pihak bank, baik secara langsung atau tidak langsung akibat daripada penunaian lebih daripada sekali serta pengeluaran surat peringatan untuk mengembalikan lebihan wang BR1M yang dituntut, kos yang ditanggung sudah pasti melebihi RM3.3 juta.

Walau bagaimanapun, penggunaan baucar bakal digantikan dengan surat kelulusan BR1M yang mempunyai ciri-ciri keselamatan anti copy bagi penerima yang tidak mempunyai bank akaun. Kaedah ini sememangnya satu langkah kedepan yang lebih baik daripada baucar, namun ia masih tidak dapat mengatasi masalah struktural yang asas.

Pertama, peratus isi rumah atau populasi memiliki akaun bank yang rendah. Laporan Pembangunan Manusia Malaysia (Malaysia Human Development Report 2013)[2] memperlihatkan kadar populasi berumur 15 tahun ke atas yang memiliki akaun bank adalah 66%. Berbanding dengan Singapura, Japan dan Hong Kong, peratus isi rumah atau populasi yang memiliki akaun bank adalah 98%, 96% dan 89%. Bagi kategori 40% isi rumah terrendah (bottom 40%) pula, setinggi 50% tidak mempunyai akaun bank, iaitu seorang daripada dua orang yang miskin tidak mempunyai akaun bank.

Kedua, jurang keberkesanan kos di antara lokaliti tetap wujud di antara bandar dengan luar bandar, Semenanjung Malaysia dengan Sabah dan Sarawak. Keberkesanan kos adalah rendah di luar bandar, Sabah dan Sarawak berbanding dengan bandar dan Semenanjung Malaysia kerana infrastruktur ekonomi dan sosial yang terhad[3], maka agensi kerajaan dan pihak bank perlu memperuntukkan lebih kos untuk menyediakan kemudahan kewangan dan sosial, mencapai (reach out) mereka yang susah dan menyalurkan bantuan tunai dengan telus.

Sebagai langkah asas, kerajaan perlu mewujudkan mekanisme kerjasama dengan sektor bank untuk mempertingkatkan peratus populasi memiliki akaun bank khasnya golongan miskin. Sebagai contoh di India, peratus populasi memiliki akaun bank adalah 35% sahaja[4], kerajaan India memperkenalkan program Jan-Dhan Yojana[5] pada tahun 2014 bagi membolehkan seluruh rakyat India membuka akaun sifar simpanan (zero balance account) dengan mana-mana bank di India dan menikmati manfaat pelbagai program kebajikan kerajaan.

Bagi penyelarasan maklumat penerima, kerajaan boleh merujuk kepada open source web-based Management Information System (MIS) seperti yang dilaksanakan di Kenya untuk program Hunger Safety Net Programme yang membolehkan akses untuk semua agen pelaksana termasuk kerajaan Kenya dan Bank Ekuiti. Sistem ini menggabungkan pihak kerajaan, bank dan syarikat telekomunikasi bagi membolehkan penggunaan sistem penyaluran elektronik seperti kad pintar dan telefon bimbit dalam program bantuan tunai di Kenya[6].

Sesungguhnya, kelemahan Program Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) sepertimana yang dikemukakan oleh Laporan Ketua Audit Negara hari ini hanya akan dapat ditangani dengan memastikan rakyat Malaysia khasnya golongan miskin mempunyai akaun bank sebagai langkah asas menuju ke arah sistem penyaluran bantuan tunai secara elektronik. Langkah ini bukan sahaja dapat mempertingkatkan keberkesanan kos program dan mengelakkan manipulasi, yang terpenting adalah menjamin bantuan terus sampai ke tangan golongan miskin.#

Rujukan:

[1] Kerajaan Malaysia, Laporan Ketua Audit Negara Persekutuan 2014.
https://www.audit.gov.my/index.php?option=com_content&view=article&id=444&Itemid=300&lang=ms

[2] UNDP, Malaysia Human Development Report 2013.
http://hdr.undp.org/en/content/malaysia-human-development-report-2013

[3] Rancangan Malaysia ke-10.
http://www.pmo.gov.my/dokumenattached/RMK/RMK10_Mds.pdf

[4] Financial Times (28/8/2014), “India’s Modi seeks bank accounts for 75m poor households”.
http://www.ft.com/cms/s/0/1195110e-2dd1-11e4-8346-00144feabdc0.html#axzz3WaI14urF

[5] Jan-Dhan Yojana Net. http://jandhanyojana.net/

[6] Frontiers of Social Protection Brief, Number 3, February 2010, “Electronic delivery of social cash transfers: Lessons learned and opportunities for Africa”.
http://www.kulima.com/wp-content/uploads/2011/03/FOSP-BRIEF-3-Web.pdf

SOALAN SIDANG DUN SELANGOR (HANSARD) : LEBUH RAYA KIDEX

Bertanya kepada Y.A.B. Dato’ Menteri Besar :-

a) Apakah tema perjanjian awal tersebut?

b) Apakah ada risiko saman atas pembatalan tersebut ke atas kerajaan Selangor?

c) Apakah kekuatan kerajaan mempertahankan hak rakyat dalam isu ini?

Y.A.B. DATO’ MENTERI BESAR: Terima kasih Y.B. Tuan Speaker. Saya mohon izin Y.B. Tuan Speaker untuk saya menjawab soalan daripada no.30 dan bersama-sama dengan Y.B. Kuang (no.80) dan Y.B. Damansara Utama (no.285) kerana ketiga-tiga Ahli Yang Berhormat ini mengemukakan isu yang sama berhubung Lebuh Raya KIDEX.

Seperti yang kita sedia maklum, isu Lebuh Raya KIDEX ini telah berlanjutan sekian lama. Dan saya bersyukur ke hadrat Allah SWT dalam tempoh yang singkat apabila saya diberikan amanah setelah mendapat pandangan daripada Ahli Parlimen dan Ahli-Ahli Dewan Negeri kawasan yang berkenaan dan mendengar / mendapat maklum balas daripada beberapa pihak state holders di kawasan yang berkenaan, kita telah membuat keputusan untuk membatalkan pembangunan KIDEX ini.

Kredibiliti dan integriti seseorang pemimpin diukur diatas keupayaan membuat keputusan dan berani buat keputusan. Pemimpin tidak boleh diukur apabila dia tidak berani membuat keputusan dan senantiasa mengambil jalan selamat. Itu ukur seseorang pemimpin. Dalam isu KIDEX ini, pada 17 Februari 2015 MMKN telah bersidang dan telah membuat keputusan untuk tidak mempertimbangkan dan membatalkan pembangunan Lebuh Raya KIDEX. Dan keputusan ini adalah selaras dengan kegagalan pihak konsesi Projek Lebuh Raya KIDEX untuk memenuhi syarat-syarat yang ditetapkan oleh kerajaan negeri:-

a) Menyediakan penilaian Impak Lalu Lintas ataupun TIA yang bebas, Penilaian Impak Sosial (SIA) dan Penilaian Impak Alam Sekitar (EIA). Kajian perlu membuktikan manfaat yang ternyata kepada pihak pengguna dan penduduk di kawasan yang terlibat setelah mengambil kira kesan negatif yang timbul akibat pembinaan lebuh raya tersebut;

b) Kita juga telah menetapkan supaya pihak konsesi mendedahkan kadar tol sepanjang tempoh konsesi termasuk fasa kenaikan tol yang ditetapkan dalam konsesi. Pihak konsesi perlu memberi anggaran rasmi jumlah tol yang akan dikutip dan kadar pulangan pelaburan atau rate of return to investment;

c) Pihak konsesi perlu mendedahkan perjanjian konsesi sepenuhnya untuk mematuhi dasar kerajaan negeri yang mengamalkan prinsip ketelusan dan kebertanggungjawaban.

Syarat-syarat ini telah pun dikemukakan kepada pihak LLM dan Kementerian Kerja Raya pada 29 Disember 2014 di mana mereka perlu mematuhi syarat-syarat kerajaan negeri pada atau sebelum 15 Februari 2015.

Pada 19 Mac yang baru lalu, Menteri Kerja Raya telah datang bertemu dengan saya dan bertanya apakah kerajaan negeri bersedia menimbangkan semula pembangunan Lebuh Raya KIDEX.

Jawapan saya sekali lagi tegas dan jelas ‘kerajaan negeri tidak akan mempertimbangkan pembangunan Lebuh Raya KIDEX’.

Untuk makluman Ahli-ahli Yang Berhormat, saya juga telah menyatakan kepada Y.B. Menteri Kerja Raya bahawa sebarang pelaksanaan pembangunan projek di negeri Selangor perlu mematuhi peraturan Seksyen 20(a) Akta Perancangan Bandar dan Desa 1976 (Akta 172) Yang memperuntukkan tiada seorang pun boleh memulakan / mengusahakan atau menjalankan apa-apa pemajuan selain menurut kebenaran merancang yang diberikan kepadanya. Seksyen 20(a) Perancangan Bandar dan Desa 1976 (Akta 172) juga mengehendaki setiap jabatan atau agensi kerajaan berunding dengan Jawatankuasa Perancang Negeri terlebih dahulu berkenaan aktiviti pemajuan yang hendak dijalankannya. Ini adalah bagi membolehkan Pihak Berkuasa Negeri mengambil maklum berkenaan projek pembangunan yang hendak dilaksanakan dan mengelakkan kemungkinan pemajuan berkenaan terkeluar daripada perancangan dan seterusnya menyulitkan kerja-kerja penyelarasan pembangunan fizikal di kawasan tersebut.

Untuk makluman Y.B. Meru, kerajaan negeri juga mempunyai kedudukan yang kuat dari segi perundangan dengan mengguna pakai Seksyen 18(1) Akta 172 yang memperuntukkan tiada seorang pun boleh menggunakan atau membenarkan sesuatu tanah atau bangunan di gunakan melainkan menurut Rancangan Tempatan.

Untuk menjawab Y.B. Damansara Utama, kerajaan negeri juga telah memutuskan pembangunan Lebuh Raya KIDEX tidak dimasukkan dalam Rancangan Tempatan Majlis Bandar Raya Petaling Jaya. Lanjutan daripada itu, kerajaan negeri telah mengarahkan supaya pembangunan Lebuh Raya KIDEX tidak dimasukkan di dalam Draf Rancangan Struktur Negeri Selangor yang sedang digubal hari ini. Tindakan ini adalah jelas menunjukkan bahawa pembangunan Lebuh Raya KIDEX tidak dipertimbangkan dan dibatalkan pembangunannya oleh kerajaan negeri.

Berkaitan dengan persoalan yang dibangkitkan oleh Y.B. Meru tentang terma perjanjian yang telah ditandatangani sebelum ini, kerajaan negeri tidak pernah didedahkan tentang terma-terma Perjanjian Lebuh Raya KIDEX. Perjanjian adalah di antara kerajaan persekutuan iaitu Kementerian Kerja Raya dengan Syarikat Konsesi Lebuh Raya KIDEX Sdn. Bhd. Yang telah ditandatangani pada 15 November 2013 dan dokumen perjanjian diklasifikasikan sebagai ‘Sulit dan Terhad’. Kerajaan negeri telah meminta untuk perjanjian ini didedahkan kepada pihak awam, namun usaha tersebut tidak pernah diendahkan oleh kerajaan persekutuan.

Yang terakhir berkenaan dengan bantahan-bantahan yang telah diterima daripada penduduk seperti yang saya tegaskan tadi.

Saya sendiri telah turun bertemu dengan Ahli-Ahli Parlimen, Ahli- Ahli Dewan Negeri kawasan yang terlibat bersama-sama dengan Pertubuhan Say No To KIDEX dan antara bantahan yang dikemukakan ialah tiada kajian dan penerangan lengkap berhubung justifikasi pembinaan projek dari sudut ekonomi dan sosial. Yang kedua level of service juga tetap kekal di tahap F walaupun apabila lebuh raya siap dibina. Ketiga pencemaran bunyi masalah statik tentang sosio ekonomi dan isu keselamatan tidak diambil kira oleh pihak yang berwajib. Yang Keempat reka bentuk Lebuh raya dipersoalkan kerana tiada terus kepada jalan-jalan utama serta lebuh raya yang lain dan yang kelima secara perbandingan kos secara perbanding kos pembinaan struktur bertingkat ataupun elevator tidak setimpal dengan anggaran mobility penduduk berbanding menggunakan mood pengangkutan rel. Jadi atas alasan-alasan yang berkenaan Kerajaan Negeri sentiasa mengamalkan pendekatan mengambil kira pandangan orang ramai dalam menentukan kelulusan sesebuah projek agar ia membawa manfaat menyeluruh. Selain daripada pembangunan ekonomi pentadbiran juga menitik berat sumber sosial dan manusiawi dalam setiap projek yang diluluskan. Dasar pembangunan yang berkualiti rakyat dipeduli akan menjadi teras dalam setiap pembangunan di Negeri Selangor.

SOALAN DUN SELANGOR: PERBELANJAAN PENDIDIKAN

Bertanya kepada Y.A.B. Dato’ Menteri Besar:-

  1. a) Senaraikan perbelanjaan pendidikan yang telah dilaksanakan oleh kerajaan negeri pada tahun 2014 mengikut daerah?
  1. b) Apakah peranan kerajaan negeri dalam membantu mempertingkatkan mutu pendidikan di Selangor?

JAWAPAN:

  1. Perbelanjaan pendidikan yang telah dilaksanakan oleh kerajaan negeri pada tahun 2014 mengikut daerah berjumlah RM16,243,675.00. Laporan terperinci seperti di lampiran.
  2. Peranan Kerajaan Negeri di dalam membantu mempertingkatkan pendidikan di Selangor antaranya ialah :
  1. membantu meningkatkan kualiti infrastruktur sekolah di Negeri Selangor melalui Program Bantuan Sekolah;
  2. membantu meningkatkan pencapaian pelajar di dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia melalui Program Tuisyen Rakyat Selangor;
  3. membantu meningkatkan kualiti guru-guru di Negeri Selangor melalui pelaksanaan Program Latihan Keguruan;
  4. memberi bantuan yuran tadika kepada keluarga yang kurang berkemampuan melalui program Skim TUNAS;
  5. melaksanakan program-program pembangunan pendidikan awal kanak-kanak melalui seminar keibubapaan, Hari Tadika dan pelbagai lagi;
  6. membantu memperkembangkan pendidikan Punjabi di kalangan masyarakat sikh di Negeri Selangor melalui Persatuan Punjabi Negeri Selangor; dan
  7. melaksanakan proogram bantuan sebanyak RM1000 kepada para pelajar yang berjaya melanjutkan pelajaran ke IPT melalui Program Hadiah Pengajian IPT at

SOALAN DUN SELANGOR: PEMERIKSAAN MAMMOGRAM PERCUMA

Bertanya kepada Y.A.B. Dato’ Menteri Besar:-

  1. a) Apakah status program Pemeriksaan Mammogram Percuma untuk wanita di negeri Selangor dari segi bilangan yang sudah membuat pemeriksaan mengikut DUN?
  1. b) Apakah program lain yang dijalankan oleh Kerajaan Negeri bagi memberi kesedaran tentang pencegahan penyakit barah payudara di Selangor?

JAWAPAN:

  1. a) Pelaksanaan Mammogram masih diteruskan malah tindakan penambahbaikan program telah diambil dan dilaksanakan secara berterusan sehingga kini. Penambahbaikan ini adalah dari segi penambahan jumlah pengendali operasi Mammogram bagi memudahkan ramai lagi wanita di Negeri Selangor menikmati manfaat yang diberi. Untuk makluman sejak program ini dilancarkan sehingga Mac 2015 seramai 19,040 orang peserta telah mendapat manfaat daripada program tersebut seperti di Lampiran A.
  2. b) Kerajaan Negeri di bawah Jawatankuasa Tetap Hal Ehwal Wanita dan Keluarga telah bekerjasama dengan persatuan NGO, Persatuan Kebajikan Kanser Payudara Malaysia (Breast Canser Welfare Association Malaysia (BCWA)) telah mengadakan Kempen Kesedaran Pencegahan Awal Kanser Payudara dengan mengadakan Jelajah Anti Kanser Payudara bersama BCWA menggunakan van khas untuk pemeriksaan klinikal barah payudara secara percuma yang dinamakan Mobile Unit Reaching Nationwide with Information (MURNI).

Van MURNI merupakan sebuah truck yang telah diubah suai dengan dilengkapi peralatan klinikal bagi menjalankan kempen pencegahan kanser payudara. Van MURNI akan bergerak dari satu tempat ke satu tempat bagi membantu wanita di kawasan tersebut untuk menjalani ujian pengesanan awal kanser payudara secara klinikal dan mendapatkan informasi lebih lanjut berkenaan barah payudara.

SOALAN DUN SELANGOR: PENGGUNAAN PERUNTUKAN MARRIS

Bertanya kepada Y.A.B. Dato’ Menteri Besar:-

  1. a) Bagaimana Peruntukan MARRIS dapat digunakan untuk membaik pulih jalan-jalan yang di dalam kawasan perumahan bertingkat?
  1. b) Apakah pindaan kepada Garis Panduan Penggunaan Peruntukan MARRIS yang boleh dibuat bagi melebarkan penggunaan peruntukan untuk infrastruktur lain?

JAWAPAN:

  1. Pemberian Penyelenggaraan Jalan Negeri atau peruntukan MARRIS dibuat di bawah peruntukan Perkara 109 (1) (b), Perlembagaan Persekutuan dengan tujuan untuk membantu Kerajaan Negeri menyelenggara jalan negeri di negeri masing-masing. Perbelanjaan peruntukan ini dibuat secara teliti berpandukan kepada Garis Panduan Tatacara Pengurusan Pemberian Jalan Negeri yang disediakan oleh Kementerian Kewangan Malaysia (MOF). Tafsiran istilah ‘Jalan Raya Negeri’ berdasarkan perenggan 3 garis panduan tersebut ialah jalan raya negeri yang disenggara oleh Jabatan Kerja Raya (JKR) Negeri.

Garis panduan yang sama turut menggunapakai tafsiran ‘Jalan Negeri’ yang dinyatakan pada Seksyen 5 dan Seksyen 6 (2) (b), Bahagian 2 Jadual Kesepuluh, Perlembagaan Persekutuan yang berbunyi seperti berikut:-

Seksyen 5

Dalam bahagian ini dalam Jadual ini, ‘jalan negeri’ ertinya mana-mana jalan awam, selain jalan persekutuan, dan mana-mana jalan lain, selain jalan persekutuan yang boleh dilalui oleh orang ramai.

         

Seksyen 6 (b)

 

“ mana-mana batang jalan yang disenggarakan oleh sesuatu pihak berkuasa tempatan atas perbelanjaan Negeri hendaklah dikira sebagai disenggarakan oleh Jabatan Kerja Raya Negeri itu.”

 

Sungguhpun begitu, jalan-jalan yang berada di dalam kawasan perumahan bertingkat adalah tergolong di dalam tafsiran “harta bersama” yang berada di bawah tanggungjawab pihak Badan Pengurusan Bersama (Joint Management Body – JMB) selaras dengan Seksyen 2, Akta Bangunan dan Harta Bersama (Penyenggaraan & Pengurusan) 2007 (Akta 663). Jalan-jalan tersebut juga tidak diselenggara oleh Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) dan tidak didaftarkan dalam Sistem MARRIS Online. Oleh yang demikian, peruntukan MARRIS tidak boleh digunakan secara langsung untuk membaikpulih jalan di kawasan perumahan bertingkat.

  1. b) Sebarang cadangan pindaan kepada Garis Panduan Tatacara Pengurusan Pemberian Jalan Negeri bagi meluaskan penggunaan peruntukan berkenaan kepada lain-lain perkara yang tidak tersenarai dalam garis panduan tersebut perlulah dikemukakan kepada Kementerian Kewangan Malaysia untuk diteliti oleh Jawatankuasa Pengurusan Pemberian Penyenggaraan Jalan Negeri sebelum diangkat untuk kelulusan Majlis Kewangan Negara.