Pembatalan Projek Lebuhraya Kinrara Damansara (KIDEX)

Kerajaan Negeri Selangor mengamalkan pendekatan mengambil kira pandangan orang ramai dalam menentukan kelulusan sesebuah projek agar ia membawa manfaat menyeluruh. Selain dari pembangunan ekonomi, pentadbiran Negeri Selangor turut menitikberatkan sumbangan sosial dan manusiawi dalam setiap projek yang diluluskan. Dasar pembangunan berkualiti, rakyat dipeduli akan menjadi teras dalam setiap pembangunan di Negeri Selangor.

Pertikaian mengenai kelulusan Lebuhraya Kinrara Damansara (KIDEX) sebelum ini banyak berkisar kepada persoalan – persoalan ini.

Kerajaan Negeri telah menggunapakai maklum balas orang ramai yang terbabit untuk menetapkan syarat – syarat khusus yang perlu dipatuhi. Kerajaan Negeri juga berpendirian bahawa pembinaan lebuhraya dalam Negeri Selangor perlulah bermanfaat bukan sahaja kepada pengguna lebuhraya tetapi juga dinikmati oleh penduduk di mana lebuhraya itu dibina. Pendirian ini telah diluluskan dalam pembentangan Belanjawan Negeri Selangor 2015 di Persidangan Dewan Negeri Selangor pada 24 November 2014.

Justeru, pihak konsesi KIDEX perlu memenuhi syarat – syarat berikut :

  1.    Menyediakan Penilaian Impak Lalulintas (Traffic Impact Assessment) yang bebas, Penilaian Impak Sosial (Social Impact Assessment) dan Penilaian Impak Alam Sekitar (Environmental Impact Assessment). Kajian – kajian ini perlu membuktikan manfaat yang ternyata kepada pihak pengguna dan penduduk kawasan yang terlibat setelah mengambil kira kesan negatif yang timbul akibat pembinaan lebuhraya tersebut.
  1. Mendedahkan kadar tol sepanjang tempoh konsesi termasuk segala kenaikan tol yang ditetapkan dalam konsesi. Pihak konsesi perlu memberikan anggaran rasmi jumlah tol yang akan dikutip dan kadar pulangan kepada pelaburan (rate of return to investment).
  1. Mendedahkan perjanjian konsesi sepenuhnya untuk mematuhi dasar kerajaan Pakatan Rakyat yang menegaskan ketelusan dan kebertanggungjawaban.

Kerajaan Negeri telah memaklumkan kepada KIDEX untuk mematuhi syarat – syarat ini sebelum 14 Februari 2015. Oleh kerana tidak ada satu pun syarat – syarat ini yang dipatuhi oleh KIDEX setelah tempoh masanya tamat, maka Kerajaan Negeri Selangor dengan ini mengumumkan pembatalan Projek Lebuhraya Kinrara Damansara (KIDEX).

Pendekatan yang sama akan digunakan dalam mempertimbangkan permohonan kelulusan oleh lebuhraya – lebuhraya lain yang dicadangkan di bawah bidang kuasa Kerajaan Negeri Selangor.

MOHAMED AZMIN ALI

16 FEBRUARI 2015

Advertisement

Air Hidrogen untuk kesihatan

20130924_17094613 Okt 2013 – Kempen Hidup Sihat menjadi salah satu kempen di bawah Pejabat ADUN Tmn Medan bermula tahun ini. Tinjauan rawak mendapati ramai penduduk yang mengidap penyakit 3 serangkai iaitu diabetes, jantung dan darah tinggi.

Kebanyakan penyakit yang dialami berpunca daripada gaya hidup kita. Dengan itu, kita perlu mengubah cara kita sediakan makanan, kehidupan seharian termasuk air yang kita minum.

Sebahagian daripada kempen ini, pejabat saya telah melancarkan pengambilan air nano hidrogen sebagai amalan minuman harian. Bagi menggalakkan minum air nano hidrogen, 50buah mesin air nano hidrogen akan dipasang di sekitar Dun Tmn Medan. Anda hanya perlu bayar 20 sen untuk 500ml. Setiap hari selama 2 jam akan diberi percuma. Waktu percuma ada dipaparkan di setiap mesin air berkaitan.

JOM, tukar kepada gaya Hidup Sihat!

4,000 Pengundi DUN Taman Medan Dipindah Tanpa Pengetahuan

PETALING JAYA 2 APRIL: Seramai 4,000 pengundi berdaftar Taman Medan dipindahkan tanpa pengetahuan, dedah Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) kawasan itu, Haniza Talha.

Jumlah itu meliputi senarai 40,000 pengundi berdaftar di DUN berkenaan sejak 2008.

Menurutnya, pengundi terlibat dikesan dipindah keluar ke kawasan lain dan digantikan dengan jumlah yang sama.

haniza 01“Pengundi tersebut jumpa saya maklumkan perkara itu dan mereka terkejut dengan penukaran tersebut,” katanya pada sidang media di Pejabat KEADILAN Selangor, hari ini.

Haniza berkata, penambahan sebanyak 5,000 menjadikan pengundi mengikut Rang Daftar Pemilih 2012 berjumlah 45,000.

Katanya, 4,000 dari 40,000 pengundi asal itu dipindahkan dan diganti pengundi baru menjadikan penambahan sebanyak 9,000.

“Nampak seolah-olah penambahan cuma 5,000 tapi sebenarnya lebih,” jelas Haniza.

Beliau merujuk salah satu kes berkenaan apabila semakan pada daftar pemilih pada 2013 mendapati nama pengundi yang berdaftar di Taman Medan pada 2008, ditukar ke Seri Setia.

“Pengundi tersebut terkejut kerana tak pernah buat permohonan penukaran malah alamatnya masih sama,” jelas Ketua Wanita KEADILAN Selangor itu.

Ekoran itu, kata Haniza, KEADILAN Taman Medan akan menggesa Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menyiasat pemindahan tersebut.
“Kita akan buat laporan polis dan minta mereka siasat. Perkara ini sudah dijangka berlaku seperti di Lembah Pantai. Kita juga tak terkejut jika lebih banyak lagi kes seperti itu,” katanya bimbang akan ada ‘orang lain’ yang mengundi untuk mangsa terlibat.

Daripada: Keadilan Daily
http://www.keadilandaily.com/?p=48984

Kerajaan PR Selangor bantu SAR,SJKT dan SJKC

Mengumumkan sumbangan bagi kutipan dana membina bangunan baru SJKC Yuk Chyun


Majlis Makan Malam SJKC Yuk Chyun PJS 1

PETALING JAYA 14 Mei – Menghadiri Majlis Makan Malam kutipan dana bagi SJKC Yuk Chyun. Sumbangan ADUN sebanyak RM 2,000 kepada tabung sekolah. Setiap tahun sebanyak RM6juta diperuntukkan kepada SJKC oleh kerajaan negeri Selangor. Yuk Chyun juga telah menerima RM20,000 sebelum ini untuk menaiktaraf perpustakaan sekolah.

Sebanyak 769 Sekolah Agama Rakyat (SAR), Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) dan Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT) mendapat bantuan pendidikan daripada kerajaan negeri Selangor berjumlah RM32 juta bagi tahun 2009 dan 2010 dalam usaha memperkasa pendidikan di negeri ini sebagai Hub Pendidikan dan Hub Ilmuan.

Exco Pendidikan, Pendidikan Tinggi dan Modal Insan, Dr Halimah Ali dalam sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) di sini berkata jumlah tersebut adalah daripada jumlah keseluruhan sebanyak 820 permohonan yang dibuat bagi 2009 dan 2010.

Katanya, daripada 769 permohonan itu sebanyak 320 sekolah bagi tahun 2009 manakala 449 sekolah untuk 2010.

Beliau menambah, pecahan mengikut sekolah adalah 160 buah bagi SAR, 77 (SJKC), 97 (SJKT) bagi 2009 manakala bagi 2010 adalah sebanyak 252 (SAR), 100 (SJKC) dan 97 (SJKT).

“Jumlah permohonan pada 2010 meningkat berbanding 2009 iaitu sebanyak 134 permohonan dan jumlah permohonan yang diluluskan juga meningkat sebanyak 129 permohonan.

Elemen insani perlu dalam rekabentuk Pangsapuri Kos Rendah

YB DS Anwar mengesyorkan model Maju Jaya digunakan untuk flat kos rendah lain


Penghuni flat sangat berterima kasih kerana terpilih untuk program kerajaan negeri

PETALING JAYA 14 Mei – Kerajaan Selangor hari ini melancarkan program pemulihan bandar untuk menaik taraf penginapan kos rendah yang dibina dalam keadaan serba kekurangan oleh kerajaan Umno-Barisan Nasional yang lalu.

Pengubahsuaian itu akan membabitkan penerapan ciri-ciri insani termasuk kawasan permainan kanak-kanak, ruang istirehat bagi penghuni dengan reka bentuk kediaman bertingkat yang moden dan mesra pengguna, kata Penasihat Ekonomi Selangor Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Bangunan pangsapuri terbabit juga akan dicat semula dengan warna yang dipersetujui bersama oleh penduduk terbabit, tambah beliau, ketika melancarkan projek printis program itu di Pangsapuri Taman Maju Jaya, Petaling Jaya Selatan.

Projek itu akan diperluaskan ke seluruh negara jika Pakatan Rakyat diberi mandat menubuhkan kerajaan persekutuan pada pilihanraya umum akan datang, tambah Anwar.

“Tan Sri Khalid Ibrahim mengungkap istilah pembangunan ini dengan cukup tepat iaitu ‘Merakyatkan Ekonomi’ kalau rakyat tidak dapat pembangunan sebutlah pembangunan berbillion sekali pun, tetapi kita sebagai rakyat berpuluh tahun pun masih seperti ini,” katanya.

Anwar menegaskan bahawa program pemulihan dan pembaharuan kawasan perumahan bandar amat penting dalam menjana ekonomi negeri sekaligus meningkatkan kualiti hidup penduduk menerusi pengurusan aset yang lebih sistematik dan telus untuk kebajikan rakyat.

Projek printis pembaharuan Pangsapuri Taman Maju Jaya dibiayai sepenuh oleh Majlis Perbandaran Petaling Jaya (MBPJ) dan pihak swasta.

Sektor swasta turut menyumbang khidmat perunding dan reka bentuk pemuliharaan secara percuma sebagai tanggungjawab sosial mereka.

Anwar berkata kejayaan projek itu mampu mengubah landskap pusat-pusat bandar jika dilaksanakan secara menyeluruh dan berkesan.

“Taman Maju Jaya, Projek Perintis ini adalah projek terpenting untuk Selangor, kemudian kalau kita perintah Putrajaya saya akan ambil projek ini sebagai projek perintis di seluruh Malaysia,” katanya.

Hadir sama, Adun Taman Medan, Haniza Talha, Ahli Parlimen Petaling Jaya Selatan, Hee Loy Sian, Ahli Parlimen Subang, Sivarasa Rasiah, Ahli Majlis MBPJ Lateefah Koya.

Anwar bersama Adun dan Ahli Parlimen yang hadir kemudian mengecat rumah pangsapuri untuk menandakan pelancaran program itu.

Lebih 500 penduduk setempat hadir di majlis itu.

Adun Taman Medan, Haniza Talha berkata projek itu diilhamkan apabila melihat kerajaan terdahulu membina pangsapuri yang tidak dilengkapi elemen insani sehingga mencetuskan pelbagai masalah sosial dan jenayah.

Pembinaan pangsapuri ketika itu tidak mengambil kira realiti kehidupan berkeluarga besar tetapi dibangunkan hanya untuk mengisi program sifar setinggan yang akhirnya juga gagal dicapai, kata beliau.

“Flat kos rendah yang kebannyakannya didirikan dalam kempen sifar setinggan yang dilancarkan oleh pentadbiran yang lepas. Oleh kerana projek tersebut tergesa-gesa untuk segerakan pelaksanaan kempen itu, maka banyak masalah sosial dan perumahan yang telah timbul dan kesannya berkekalan hingga hari ini.

“Kita akan bersihkan dan baik pulih keadaan ini di seraya Selangor dan bukannya di Taman Medan sahaja,” kata beliau

——————————————————————————–

Jelajah Selangor Tawan Malaysia – JELAS

Ceramah JELAS di Bukit Antarabangsa

Penerangan di Kg Melayu Tambahan Subang

PETALING JAYA: KEADILAN Selangor telah melancarkan siri Jelajah Selangor Tawan Malaysia (Jelas) bagi menyampaikan maklumat kepada rakyat mengenai situasi politik semasa dan sebagai persiapan menghadapi pilihan raya umum akan datang.

Ketua Penerangan KEADILAN Selangor, Shuhaimi Shafiei berkata, program jelajah di seluruh negeri itu merupakan inisiatif untuk memulakan gerak kerja bagi terus memastikan Selangor kekal di bawah pentadbiran Pakatan Rakyat.

“Jelajah Selangor tawan Malaysia ini adalah siri penerangan dan satu permulaan jelajah yang dibahagikan kepada dua fasa. Fasa pertama bermula pada 7 Mei dan berakhir pada 5 Jun dan fasa kedua bermula pada 7 Jun hingga 5 Julai,” ujarnya ketika mengadakan sidang media di Ibu Pejabat KEADILAN petang tadi.

Menurutnya, Program Jelas yang melibatkan seluruh cabang di Selangor itu diadakan dengan kerjasama sayap KEADILAN iaitu Angkatan Muda, Wanita dan Srikandi.

“Ada tiga penerangan khusus yang akan kita berikan, Pertama berkenaan kes Datuk Seri Anwar Ibrahim, kedua mengenai perancangan dan hala tuju kerajaan Selangor untuk memperkasa kerajaan negeri Selangor dan menggerak langkah ke Putrajaya dan ketiga penerangan mengenai isu-isu semasa,” ujarnya yang juga Adun Seri Muda.

Siri Jelajah itu akan dilancar di Stadium Bangi pada 14 Mei yang turut melibatkan program solat hajat dan pidato khas Dari Datuk Seri Anwar Ibrahim dan pimpinan Pakatan Rakyat.

Tambah beliau, jelajah selama 27 hari dan 27 malam itu akan menyaksikan terdapat kawasan yang mengadakan tiga atau empat program sekaligus, terutama di kawasan yang besar dan padat.

Ia katanya, bagi membangkitkan suasana dan ‘mood’ pilihan raya.

“Kita berharap dengan siri seluruh agenda merakyatkan ekonomi Selengor kita akan bawa bersama. Setakat ini 17 agenda Merakyat Ekonomi yang kita telah laksanakan tetapi tidak semua rakyat tahu. Dengan sesi ceramah ini, kita akan memberikan penerangan apa yang telah kerajaan negeri lakukan sepanjang tempoh tiga tahun mentadbir Selangor,” ujarnya.

Ketua Wanita KEADILAN, Zuraida Kamaruddin berkata, program jelajah Selangor akan menjadi satu platform untuk meneyerang kembali Umno-BN yang mengangkat politik lucah bagi menghentam Pakatan Rakyat.

“Kita lihat satu keadaan di mana BN Umno amat terdesak apabila membawa agenda lucah dan politik kotor. Kita akan gunakan program ini untuk memusingkan dan memastikan senjata makan tuan. Kita akan gunakan siri jelajah ini untuk menikam Umno-BN dengan politik kotor mereka.

Sementara itu, Ketua Wanita Keadilan Selangor, Haniza Talha pula berkata, pihaknya memberi tumpuan khusus kepada golongan wanita yang membentuk hampir 50 peratus pengundi di Selangor.

Selain menjelaskan program Merakyat Ekonomi Selangor, siri jelajah itu juga memberi peluang kepada rakyat mendengar penjelasan dari Pakatan berhubung pelbagai isu.

“Saya lihat Isu berkaitan video juga memberi kesan kepada pengundi wanita. Kita akan turun untuk memberikan penjelasan yang sebenarnya” ujar beliau.

Blok A, B Medan Maju Jaya juga ingin Ceriakan Kawasan

Bersama penduduk Medan Maju Jaya


Mei 2011 – Perjumpaan antara ADUN Tmn Medan dan penghuni pangsapuri Medan Maju Jaya Blok A dan B. Pertemuan tersebut bagi membincangkan cara menaiktarafkan blok A dan B. Kedua-dua blok yang mengalami kerosakan dan terbiar tanpa penyelenggaraan oleh pihak pemaju atau ‘management company’.

Malam tersebut telah mendapat persetujuan daripada penduduk untuk menaiktarafkan blok A dan B dengan berkongsi kos antara penghuni dan pemaju (akan berbincang dengan pemaju).

Perkara lain yang dibangkitkan; membaikpulih salur air hujan yang sudah rosak, bumbung yang bocor dan masalah pembentungan. Aduan lain, terdapat aktiviti penagihan dadah yang dilakukan di dalam bangunan flat semasa penghuni flat keluar kerja di siang hari.

Semua pandangan dan cadangan telah diambil maklum. ADUN meminta seluruh penghuni memberi kerjasama dalam menjaga kesejahteraan dan keselamatan kawasan sekitar. Pihak Rukun Tetangga boleh mainkan peranan dalam mengendalikan rondaan bagi menjaga keselamatan kawasan sekitar.