Premis baru PDK Tmn Kanagapuram

Kemudahan pemulihan OKU yang disediakan di premis baru


Ibu bapa dan tetamu yang hadir, saat yang dinantikan, Siap Premis Baru


Saya selaku Pengerusi PDK memberi sedikit fakta sejarah berkaitan PDK

Kerajaan PR Selangor bantu SAR,SJKT dan SJKC

Mengumumkan sumbangan bagi kutipan dana membina bangunan baru SJKC Yuk Chyun


Majlis Makan Malam SJKC Yuk Chyun PJS 1

PETALING JAYA 14 Mei – Menghadiri Majlis Makan Malam kutipan dana bagi SJKC Yuk Chyun. Sumbangan ADUN sebanyak RM 2,000 kepada tabung sekolah. Setiap tahun sebanyak RM6juta diperuntukkan kepada SJKC oleh kerajaan negeri Selangor. Yuk Chyun juga telah menerima RM20,000 sebelum ini untuk menaiktaraf perpustakaan sekolah.

Sebanyak 769 Sekolah Agama Rakyat (SAR), Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) dan Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT) mendapat bantuan pendidikan daripada kerajaan negeri Selangor berjumlah RM32 juta bagi tahun 2009 dan 2010 dalam usaha memperkasa pendidikan di negeri ini sebagai Hub Pendidikan dan Hub Ilmuan.

Exco Pendidikan, Pendidikan Tinggi dan Modal Insan, Dr Halimah Ali dalam sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) di sini berkata jumlah tersebut adalah daripada jumlah keseluruhan sebanyak 820 permohonan yang dibuat bagi 2009 dan 2010.

Katanya, daripada 769 permohonan itu sebanyak 320 sekolah bagi tahun 2009 manakala 449 sekolah untuk 2010.

Beliau menambah, pecahan mengikut sekolah adalah 160 buah bagi SAR, 77 (SJKC), 97 (SJKT) bagi 2009 manakala bagi 2010 adalah sebanyak 252 (SAR), 100 (SJKC) dan 97 (SJKT).

“Jumlah permohonan pada 2010 meningkat berbanding 2009 iaitu sebanyak 134 permohonan dan jumlah permohonan yang diluluskan juga meningkat sebanyak 129 permohonan.

Elemen insani perlu dalam rekabentuk Pangsapuri Kos Rendah

YB DS Anwar mengesyorkan model Maju Jaya digunakan untuk flat kos rendah lain


Penghuni flat sangat berterima kasih kerana terpilih untuk program kerajaan negeri

PETALING JAYA 14 Mei – Kerajaan Selangor hari ini melancarkan program pemulihan bandar untuk menaik taraf penginapan kos rendah yang dibina dalam keadaan serba kekurangan oleh kerajaan Umno-Barisan Nasional yang lalu.

Pengubahsuaian itu akan membabitkan penerapan ciri-ciri insani termasuk kawasan permainan kanak-kanak, ruang istirehat bagi penghuni dengan reka bentuk kediaman bertingkat yang moden dan mesra pengguna, kata Penasihat Ekonomi Selangor Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Bangunan pangsapuri terbabit juga akan dicat semula dengan warna yang dipersetujui bersama oleh penduduk terbabit, tambah beliau, ketika melancarkan projek printis program itu di Pangsapuri Taman Maju Jaya, Petaling Jaya Selatan.

Projek itu akan diperluaskan ke seluruh negara jika Pakatan Rakyat diberi mandat menubuhkan kerajaan persekutuan pada pilihanraya umum akan datang, tambah Anwar.

“Tan Sri Khalid Ibrahim mengungkap istilah pembangunan ini dengan cukup tepat iaitu ‘Merakyatkan Ekonomi’ kalau rakyat tidak dapat pembangunan sebutlah pembangunan berbillion sekali pun, tetapi kita sebagai rakyat berpuluh tahun pun masih seperti ini,” katanya.

Anwar menegaskan bahawa program pemulihan dan pembaharuan kawasan perumahan bandar amat penting dalam menjana ekonomi negeri sekaligus meningkatkan kualiti hidup penduduk menerusi pengurusan aset yang lebih sistematik dan telus untuk kebajikan rakyat.

Projek printis pembaharuan Pangsapuri Taman Maju Jaya dibiayai sepenuh oleh Majlis Perbandaran Petaling Jaya (MBPJ) dan pihak swasta.

Sektor swasta turut menyumbang khidmat perunding dan reka bentuk pemuliharaan secara percuma sebagai tanggungjawab sosial mereka.

Anwar berkata kejayaan projek itu mampu mengubah landskap pusat-pusat bandar jika dilaksanakan secara menyeluruh dan berkesan.

“Taman Maju Jaya, Projek Perintis ini adalah projek terpenting untuk Selangor, kemudian kalau kita perintah Putrajaya saya akan ambil projek ini sebagai projek perintis di seluruh Malaysia,” katanya.

Hadir sama, Adun Taman Medan, Haniza Talha, Ahli Parlimen Petaling Jaya Selatan, Hee Loy Sian, Ahli Parlimen Subang, Sivarasa Rasiah, Ahli Majlis MBPJ Lateefah Koya.

Anwar bersama Adun dan Ahli Parlimen yang hadir kemudian mengecat rumah pangsapuri untuk menandakan pelancaran program itu.

Lebih 500 penduduk setempat hadir di majlis itu.

Adun Taman Medan, Haniza Talha berkata projek itu diilhamkan apabila melihat kerajaan terdahulu membina pangsapuri yang tidak dilengkapi elemen insani sehingga mencetuskan pelbagai masalah sosial dan jenayah.

Pembinaan pangsapuri ketika itu tidak mengambil kira realiti kehidupan berkeluarga besar tetapi dibangunkan hanya untuk mengisi program sifar setinggan yang akhirnya juga gagal dicapai, kata beliau.

“Flat kos rendah yang kebannyakannya didirikan dalam kempen sifar setinggan yang dilancarkan oleh pentadbiran yang lepas. Oleh kerana projek tersebut tergesa-gesa untuk segerakan pelaksanaan kempen itu, maka banyak masalah sosial dan perumahan yang telah timbul dan kesannya berkekalan hingga hari ini.

“Kita akan bersihkan dan baik pulih keadaan ini di seraya Selangor dan bukannya di Taman Medan sahaja,” kata beliau

——————————————————————————–

Jelajah Selangor Tawan Malaysia – JELAS

Ceramah JELAS di Bukit Antarabangsa

Penerangan di Kg Melayu Tambahan Subang

PETALING JAYA: KEADILAN Selangor telah melancarkan siri Jelajah Selangor Tawan Malaysia (Jelas) bagi menyampaikan maklumat kepada rakyat mengenai situasi politik semasa dan sebagai persiapan menghadapi pilihan raya umum akan datang.

Ketua Penerangan KEADILAN Selangor, Shuhaimi Shafiei berkata, program jelajah di seluruh negeri itu merupakan inisiatif untuk memulakan gerak kerja bagi terus memastikan Selangor kekal di bawah pentadbiran Pakatan Rakyat.

“Jelajah Selangor tawan Malaysia ini adalah siri penerangan dan satu permulaan jelajah yang dibahagikan kepada dua fasa. Fasa pertama bermula pada 7 Mei dan berakhir pada 5 Jun dan fasa kedua bermula pada 7 Jun hingga 5 Julai,” ujarnya ketika mengadakan sidang media di Ibu Pejabat KEADILAN petang tadi.

Menurutnya, Program Jelas yang melibatkan seluruh cabang di Selangor itu diadakan dengan kerjasama sayap KEADILAN iaitu Angkatan Muda, Wanita dan Srikandi.

“Ada tiga penerangan khusus yang akan kita berikan, Pertama berkenaan kes Datuk Seri Anwar Ibrahim, kedua mengenai perancangan dan hala tuju kerajaan Selangor untuk memperkasa kerajaan negeri Selangor dan menggerak langkah ke Putrajaya dan ketiga penerangan mengenai isu-isu semasa,” ujarnya yang juga Adun Seri Muda.

Siri Jelajah itu akan dilancar di Stadium Bangi pada 14 Mei yang turut melibatkan program solat hajat dan pidato khas Dari Datuk Seri Anwar Ibrahim dan pimpinan Pakatan Rakyat.

Tambah beliau, jelajah selama 27 hari dan 27 malam itu akan menyaksikan terdapat kawasan yang mengadakan tiga atau empat program sekaligus, terutama di kawasan yang besar dan padat.

Ia katanya, bagi membangkitkan suasana dan ‘mood’ pilihan raya.

“Kita berharap dengan siri seluruh agenda merakyatkan ekonomi Selengor kita akan bawa bersama. Setakat ini 17 agenda Merakyat Ekonomi yang kita telah laksanakan tetapi tidak semua rakyat tahu. Dengan sesi ceramah ini, kita akan memberikan penerangan apa yang telah kerajaan negeri lakukan sepanjang tempoh tiga tahun mentadbir Selangor,” ujarnya.

Ketua Wanita KEADILAN, Zuraida Kamaruddin berkata, program jelajah Selangor akan menjadi satu platform untuk meneyerang kembali Umno-BN yang mengangkat politik lucah bagi menghentam Pakatan Rakyat.

“Kita lihat satu keadaan di mana BN Umno amat terdesak apabila membawa agenda lucah dan politik kotor. Kita akan gunakan program ini untuk memusingkan dan memastikan senjata makan tuan. Kita akan gunakan siri jelajah ini untuk menikam Umno-BN dengan politik kotor mereka.

Sementara itu, Ketua Wanita Keadilan Selangor, Haniza Talha pula berkata, pihaknya memberi tumpuan khusus kepada golongan wanita yang membentuk hampir 50 peratus pengundi di Selangor.

Selain menjelaskan program Merakyat Ekonomi Selangor, siri jelajah itu juga memberi peluang kepada rakyat mendengar penjelasan dari Pakatan berhubung pelbagai isu.

“Saya lihat Isu berkaitan video juga memberi kesan kepada pengundi wanita. Kita akan turun untuk memberikan penjelasan yang sebenarnya” ujar beliau.

Blok A, B Medan Maju Jaya juga ingin Ceriakan Kawasan

Bersama penduduk Medan Maju Jaya


Mei 2011 – Perjumpaan antara ADUN Tmn Medan dan penghuni pangsapuri Medan Maju Jaya Blok A dan B. Pertemuan tersebut bagi membincangkan cara menaiktarafkan blok A dan B. Kedua-dua blok yang mengalami kerosakan dan terbiar tanpa penyelenggaraan oleh pihak pemaju atau ‘management company’.

Malam tersebut telah mendapat persetujuan daripada penduduk untuk menaiktarafkan blok A dan B dengan berkongsi kos antara penghuni dan pemaju (akan berbincang dengan pemaju).

Perkara lain yang dibangkitkan; membaikpulih salur air hujan yang sudah rosak, bumbung yang bocor dan masalah pembentungan. Aduan lain, terdapat aktiviti penagihan dadah yang dilakukan di dalam bangunan flat semasa penghuni flat keluar kerja di siang hari.

Semua pandangan dan cadangan telah diambil maklum. ADUN meminta seluruh penghuni memberi kerjasama dalam menjaga kesejahteraan dan keselamatan kawasan sekitar. Pihak Rukun Tetangga boleh mainkan peranan dalam mengendalikan rondaan bagi menjaga keselamatan kawasan sekitar.

Skim Pemilikan Kediaman Persendirian

Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) hari ini telah meluluskan ‘Skim Pemilikan Kediaman Persendirian’ yang bertujuan memudahkan rakyat Selangor memiliki kediaman dengan bayaran premium yang fleksibel.

Skim yang berkuatkuasa hari ini 1 Jun 2011 adalah hasil kajian bersama pejabat tanah dan galian, pejabat daerah, dan pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri yang dijangka dapat melengkapkan Skim Pemberian Geran yang bermula sejak tahun lepas.

Kajian telah dibuat setelah Kerajaan Negeri mendapati bahawa tidak ramai rakyat Selangor dapat menikmati sepenuhnya skim pemberian geran kerana tidak mampu membayar premium.

Melalui skim ini, rakyat yang tidak mampu menjelaskan keseluruhan premium tanah boleh menjadi pemilik hartanah yang sah dengan hanya membayar bayaran sejumlah RM1,000. Mereka yang memilih cara ini perlu menjelaskan keseluruhan premium (mengikut harga semasa) jika hartanah itu dipindahmilik, dipajak atau digadai.

Skim ini juga memberi peluang kepada mereka yang membayar premium penuh dalam tempoh enam (6) bulan daripada tempoh notis dikeluarkan untuk diberikan diskaun sebanyak 30% secara automatik.

Skim ini boleh dipakai untuk permohonan pemberimilikan baharu, pemberimilikan disebabkan oleh tamat tempoh pajakan, lanjutan tempoh pajakan dan pemutihan langgar syarat kegunaan tanah. Bagaimanapun pindahmilik melalui mahkamah, turunmilik dan perwarisan adalah dibenarkan.

Skim ini hanya ditawarkan kepada satu pegangan hak milik kediaman persendirian sahaja dan tidak boleh dipakai untuk hartanah komersil.

Inisiatif ini adalah satu reformasi oleh pentadbiran Kerajaan Pakatan Rakyat di Selangor bagi menyelesaikan masalah rakyat dalam pemilikan hartanah. Ini adalah kali pertama sebuah kerajaan negeri di Malaysia memperkenalkan skim mudah bayar demi menggalakkan pemilikan harta persendirian.

Kerajaan negeri berharap ianya dapat menolong mengurang beban rakyat yang berdepan dengan kos sara hidup yang makin meningkat, terutamanya dengan peningkatan harga minyak dan elektrik.

Skim ini juga akan menggalakkan rakyat menjelaskan bayaran premium khususnya bagi mereka mengekalkan pemilikan apabila mereka memperbaharui pemilikan atau menyambung pajakan tanah mereka.

Ini akan meningkat bilangan pemilikan hartanah di Selangor sekaligus menaikkan pendapatan negeri melalui hasil cukai tanah yang perlu dijelaskan setiap tahun.

Skim ini akan dilancarkan sepenuhnya pada tarikh yang akan diumumkan kelak.

Skim ini merupakan satu usaha yang dibuat untuk menyenangkan rakyat dalam urusan hartanah bersama Kerajaan Negeri Selangor serta menjadikan pejabat tanah dan galian negeri Selangor lebih “mesra rakyat”.

Sebelum ini, kita telah memperkenalkan skim pemberian geran dengan memperbaiki sistem pemilikan tanah di mana pejabat daerah akan mengenalpasti rakyat yang tinggal di tanah TOL (temporary occupancy license) lebih dari 10 tahun untuk diberi hakmilik kekal dengan syarat-syarat yang telah ditetapkan.

Kerajaan juga telah memperkenalkan pusat maklumat tanah bersepadu yang membolehkan pemilik tanah memeriksa dan mengemaskini status, lokasi dan hal-hal lain yang berkaitan urusan tanah.

Kerajaan Negeri komited dengan agenda ‘Merakyatkan Ekonomi Selangor’ bagi memastikan hasil negeri di nikmati oleh semua rakyat.

TAN SRI DATO SERI ABDUL KHALID IBRAHIM
DATO MENTERI BESAR SELANGOR