MB Sokong “The Greater Kuala Lumpur and Klang”, minta kaji bangunan 100 tingkat

Wednesday, 10 November 2010 | Ruangan: Berita

SHAH ALAM, 10 Nov- Menteri Besar , Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim menyokong projek membangunkan Lembah Klang menerusi projek The Greater Kuala Lumpur and Klang Valley kerana berpendapat ia mampu merangsang pertumbuhan ekonomi dan penyediaan kemudahan infrastruktur yang  lebih maju kepada penduduk di Lembah Klang.

Bagaimanapun, kesediaan beliau untuk bekerjasama dengan Kerajaan Persekutuan dalam menjayakan The Greater Kuala Lumpur  and Klang Valley tidak bermaksud beliau menyokong pembinaan menara 100 tingkat yang bakal dikenali sebagai Warisan Merdeka  yang terkandung dalam projek tersebut,

Menteri Besar berkata, pembinaan menara 100 tingkat perlu dibahaskan dan diteliti untuk mendapat pandangan pelbagai pihak dan  Permodalan Nasional Berhad (PNB) perlu menjelaskan sumber pembiayaan projek ini dan juga bagaimana ia boleh memberi kebaikan ekonomi, sosial dan infrastruktur kepada rakyat.

“ Kita perlu bincang jika bangunan ini benar-benar akan memberi kebaikan kepada rakyat. Jika bangunan ini dibina hanya kerana ianya mahu dibina, saya rasa kita tidak perlu.  PNB perlu nyatakan secara terperinci bagaimana mereka boleh menjayakan pembangunan bangunan 100 tingkat ini,” kata Tan Sri Abdul Khalid.

“Oleh itu, berita yang mengatakan saya menyokong pembinaan bangunan 100 tingkat tersebut adalah tidak tepat” katanya ketika diminta menjelaskan berita yang melaporkan Menteri Besar menyokong pembinaan Warisan Merdeka ketika berucap di Dewan Negeri Selangor  semalam.

Leave a comment