Pakatan Rakyat penjelmaan idea muafakat cetusan rakyat – Anwar Ibrahim

Datuk Seri Anwar Ibrahim telah menyampaikan perutusan berikut melalui peguam beliau, YB Sivarasa Rasiah, hari ini:
“Pakatan Rakyat adalah penjelmaan idea muafakat yang dicetuskan rakyat menuntut perubahan. Meskipun gagasan tersebut atau beberapa aspek darinya telah lama diperjuangkan oleh parti-parti, NGO-NGO dan aktivis-aktivis tetapi gema tuntutan melonjak dan diterjemahkan dengan mendukung KEADILAN, DAP dan PAS dalam Pilihanraya Umum 2008; meskipun pengendalian SPR yang seharusnya bersih terus dipertikaikan.
Pimpinan ketiga-tiga parti ketika itu menyahut hasrat rakyat yang berbicara lantang soal kebebasan dan keadilan; negara hukum; pembanterasan rasuah dan penyelewengan kuasa serta ekonomi yang saksama dan tidak dibolot segelintir yang maha kaya. Maka pimpinan Pakatan Rakyat menerima asas perlembagaan negara dan mencerakinkan agenda bersama tatakelola negara; agama; ekonomi; pendidikan; dan budaya.
Perkembangan mutakhir yang bermula dengan bibit keretakan, kini mengakibatkan wadah formal PR tidak wujud lagi. Namun, saya tegaskan bahawa semangat dan dasar bersama yang disepakati PR tetap kekal malah semangatnya perlu ditingkatkan. Dengan muafakat baru ini, kita perlu menjana perubahan dengan wadah yang lebih kukuh dan utuh – menggembleng tidak sekadar wadah parti malah wadah rakyat yang lebih inklusif, mencakup semua kalangan yang setia pada semangat perjuangan memartabatkan setiap insan di negara Malaysia tercinta.”
Fahmi Fadzil
Pengarah Komunikasi KEADILAN
6 Julai 2015
Advertisement

Soalan-soalan untuk Mesyuarat Kedua Penggal Ketiga Dewan Negeri Selangor Darul Ehsan ketiga Belas Tahun 2015

Mesyuarat di atas akan berlangsung pada 17-21 Ogos 2015 & 24-28 Ogos 2015 bertempat di Bangunan Dewan Negeri Selangor Shah Alam.
Tuan/puan berpeluang menghantar pertanyaan jika ada selewat-lewatnya pada 24 Julai 2015 (Jumaat) sebelum jam 5.30 petang.

Soalan-soalan yang terkumpul akan dipilih mengikut kesesuaian untuk dibangkitkan dalam Sidang Dewan akan datang. Terima kasih atas perhatian.