Fast Track penceraian elak wanita sengsara

Oleh: LIZAWATI MADFA

SHAH ALAM, 5 JUL; Wanita PKR mengucap tahniah atas pelaksanaan penceraian ‘Fast Track’ di Selangor bagi mempercepatkan kes penceraian tertunggak.

Ketua Wanitanya, Zuraida Kamaruddin mengkhususkan ucapan penghargaan kepada Ketua Hakim Mahkamah Syariah Selangor, Dr Naim Mokhtar.

mahkamah-syariahKatanya, langkah berkenaan akan menyelamatkan ramai wanita yang menjalani proses penceraian yang berpanjangan.

“Ini akan memudahkan wanita meneruskan kehidupan degan kadar segera tanpa sebarang halangan hukum.

“Penangguhan penceraian yang panjang membolehkan tempoh masa itu digunakan untuk perkara lebih bermanfaat, daripada menghabiskannya hanya untuk menunggu,” katanya dalam satu kenyataan.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Ampang berharap langkah berkenaan akan diikuti negeri lain untuk kebaikan wanita.

“Kami besar hati Yang Arif Dr Naim prihatin pada wanita dan berharap juga beliau dapat mempertimbangkan mengenakan penalti kepada bekas suami yang tidak membayar nafkah kepada bekas isteri mereka,” katanya.

EZY

Advertisement

Deklarasi Anak Muda “Rakyat Perlukan Kerajaan Alternatif”

Dengan Nama Allah yang Maha Pemurah lagi Maha Mengasihani

​Ramadhan kareem buat teman-teman seperjuangan; Anak-anak Muda Malaysia.

Saya menyahut baik saranan beserta deklarasi​ “Rakyat Perlukan Kerajaan Alternatif” yang ​diwakili​ 146 ​suara ​Anak-anak Muda​, bertarikh​ 2 Julai 2015​.

Komentar Anak-anak muda Malaysia ini seolah-olah​ diiringi Semboyan yang Tegas mengungkap kata-kata Sutan Takdir Alisjahbana – berlatarbelakangkan kepelbagaian tetapi menaruh harapan yang satu; melihat Malaysia yang lebih adil, bersatu, makmur dan sejahtera.

​Saya meneliti tiga tuntutan ​yang menyenaraikan; gabungan ​baru yang berhasil​ demi rakyat​; prinsip kerjasama yang lebih tegas​ serta benar-benar inklusif​.​ Tuntutan yang semestinya mencabar; dengan halangan institusi yang tidak demokratik di Malaysia tetapi tidak mustahil dilaksanakan.

Tuntutan mereka meniupkan ​semboyan yang mengiringi keluhan rakyat terbanyak. Rakyat, yang kini semakin serba tidak keruan kesempitan ekonomi yang semakin keruh – akibat skandal demi skandal yang kini mendapat perhatian dalaman negara serta dunia.

Daripada dakwaan penyelewengan amanah Lembaga Tabung Haji, hancurnya legasi amanah MARA sehinggalah skandal  1MDB; penindasan berterusan terhadap suara kritis – hatta dari mantan Ketua Pembangkang, ahli-ahli parlimen, para akademik hinggalah siswa-siswi UKM13 yang ketiadaan air​- semuanya menyempitkan lagi ruang harapan optimis buat masa depan negara yang lebih lestari.

Gandingan skandal peringkat nasional diperitkan dengan hutang seisi rumah kepada KDNK yang mencecah 146 peratus berbanding 139 peratus pada 2007, mengalahkan Amerika dan Britain.[1]

Juga jangan dilupakan pegangan aset kewangan median bumiputera yang mengejutkan pada kadar RM1; cukai GST yang terus menekan – hingga ke bidang kesihatan dan jua pendidikan; serta inflasi yang semakin meninggi.​[2]
​Malaysia harus diselamatkan.​

​Justeru, semboyan Anak-anak muda ini saya sambut dengan penuh pengharapan serta keterbukaan. Mereka mewakili 7 juta pemilih baru dalam PRU yang bakal mendatang. Maka, pertemuan sudah pasti Inshaa Allah – sekiranya tiada aral yang melintang; dan degup jantung yang berdetik menjanjikan seribu-satu pengharapan.

Maju terus Anak-anak Muda Malaysia!

Nurul Izzah Anwar​
Ahli Parlimen Lembah Pantai
Naib Presiden dan Pengarah JPRP KEADILAN

AMBANK DAN BANK NEGARA MALAYSIA BOLEH SAHKAN BAHAWA KEWUJUDAN AKAUN “DATO’ SERI NAJIB TUN RAZAK”

4 JULAI 2015

Ekoran dari pendedahan oleh Asian Wall Street Journal (AWSJ) dan Sarawak Report (SR) bahawa sejumlah RM2.6 bilion (pada kadar tukaran matawang terkini) atau USD692 juta telah dipindahkan dari 1MDB dan anak syarikat 1MDB ke akaun peribadi milik Dato’ Seri Najib Tun Razak, kedua-dua pihak sekarang saling mempertahankan fakta dan pendirian masing-masing.

AWSJ dilaporkan menyatakan di dalam satu temuramah di Hong Kong bahawa maklumat yang mereka perolehi adalah tepat dari satu siasatan rasmi mengenai 1MDB. Dato’ Seri Najib Tun Razak pula dilaporkan menafikan pernah mengambil wang bagi tujuan peribadi.

Perkara ini boleh diputuskan dengan mudah melalui satu kaedah iaitu mengesahkan sama ada akaun di Ambank di bawah nama “Dato’ Seri Najib Tun Razak” itu benar-benar wujud atau tidak.

Sebelum ini, saya telah menyebut bagaimana 3 kakitangan pengurusan tertinggi Ambank telah ditukarkan kerana pemegang saham bank itu tidak puas hati dengan keterlibatan Ambank di dalam isu-isu membabitkan 1MDB. Pendedahan AWSJ dan SR bahawa Dato’ Seri Najib Tun Razak mempunyai satu akaun di bank itu yang menerima pemindahan wang sejumlah RM2.6 bilion menimbulkan kembali persoalan sejauh mana keterlibatan Ambank di dalam urusan berkenaan 1MDB dan Dato’ Seri Najib Tun Razak.

Oleh yang demikian, untuk membersihkan namanya Ambank perlu mengesahkan atau menafikan sama ada akaun bernombor seperti yang didedahkan oleh AWSJ di bawah nama Dato’ Seri Najib Tun Razak itu benar-benar wujud. Ini akan memberi gambaran paling baik kepada rakyat sama ada Dato’ Seri Najib Tun Razak benar-benar terlibat dalam mengambil dana milik rakyat seperti yang didedahkan oleh AWSJ dan SR itu.

Saya pasti jika Dato’ Seri Najib Tun Razak tidak ada apa-apa yang hendak disembunyikan, cara terbaik untuk mematikan serangan ke atas kredibiliti beliau ini ialah dengan membenarkan Ambank (atau mana-mana bank di negara ini) mendedahkan secara keseluruhan setiap bank akaun yang pernah beliau buka sejak menjadi Perdana Menteri dalam tahun 2009.

Jika terbukti bahawa akaun di Ambank seperti yang didedahkan oleh AWSJ dan SR itu tidak wujud, maka dengan mudah sahaja Dato’ Seri Najib Tun Razak boleh menghentikan isu terbaru ini.

Saya juga menyeru supaya Bank Negara Malaysia menggunakan semua kuasanya di bawah Akta Perkhidmatan Kewangan untuk merungkai kontroversi ini dengan mengesahkan sama ada akaun yang nombor dan namanya didedahkan oleh ASWJ dan SR itu benar-benar wujud.

Jika ia tidak wujud, perkara ini tidak perlu dipanjangkan.

Jika ia wujud, maka satu siasatan segera perlu dibuat dan Dato’ Seri Najib Tun Razak perlulah bercuti dan seorang pemangku Perdana Menteri boleh mengambilalih pentadbiran Kerajaan Persekutuan sementara siasatan sepenuhnya diadakan.

RAFIZI RAMLI

NAIB PRESIDEN/SETIAUSAHA AGUNG

AHLI PARLIMEN PANDAN

NAJIB PERLU JAWAB DAKWAAN DAN ISYTIHAR HARTA

Satu Malaysia hari ini telah digegarkan laporan berita Wall Street Journal dan Sarawak Report yang mendakwa sejumlah wang yang cukup besar telah dimasukkan ke akaun yang didakwa milik Dato’ Sri Najib Razak, Perdana Menteri Malaysia.
Perdana Menteri tidak punyai pilihan dan tidak boleh berdolak-dalik. Beliau wajib mengeluarkan satu respon serta-merta yang khusus dan boleh dipercayai mengenai dakwaan yang teramat serius ini.
Perdana Menteri juga wajib membuat satu kenyataan bersumpah untuk mengisytiharkan harta dan aset-aset yang beliau miliki.
KEADILAN menggesa agar satu badan siasatan bebas ditubuh secepat mungkin untuk menyiasat dakwaan-dakwaan ini, dan jika perlu akan berusaha untuk mengadap DYMM Seri Paduka Baginda Yang Di-Pertuan Agong untuk mengenalpasti mekanisme untuk membolehkan badan siasatan bebas ini diwujudkan.
Dato’ Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail
Presiden KEADILAN
Ketua Pembangkang Parlimen Malaysia
3 Julai 2015
===
PRESS STATEMENT
NAJIB MUST ANSWER ALLEGATIONS AND DECLARE ASSETS
Malaysians today were shocked with the reports by the Wall Street Journal and Sarawak Report that alleged a huge sum of money had been transferred into bank accounts allegedly belonging to Dato’ Sri Najib Razak, Prime Minister of Malaysia.
The Prime Minister has no other option and must wait no longer. He must immediately issue an immediate, specific and credible response to these very serious allegations.
The Prime Minister must also declare his assets publicly in a sworn statement.
KEADILAN will press for an independent inquiry into these allegations, and if necessary will seek an audience with HRH Seri Paduka Bagina Yang Di-Pertuan Agong to discuss the mechanism to enable this inquiry to take place.
Dato’ Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail
KEADILAN President
Opposition Leader of the Malaysian Parliment
3 July 2015