SOALAN SIDANG DUN SELANGOR (HANSARD) : LEBUH RAYA KIDEX

Bertanya kepada Y.A.B. Dato’ Menteri Besar :-

a) Apakah tema perjanjian awal tersebut?

b) Apakah ada risiko saman atas pembatalan tersebut ke atas kerajaan Selangor?

c) Apakah kekuatan kerajaan mempertahankan hak rakyat dalam isu ini?

Y.A.B. DATO’ MENTERI BESAR: Terima kasih Y.B. Tuan Speaker. Saya mohon izin Y.B. Tuan Speaker untuk saya menjawab soalan daripada no.30 dan bersama-sama dengan Y.B. Kuang (no.80) dan Y.B. Damansara Utama (no.285) kerana ketiga-tiga Ahli Yang Berhormat ini mengemukakan isu yang sama berhubung Lebuh Raya KIDEX.

Seperti yang kita sedia maklum, isu Lebuh Raya KIDEX ini telah berlanjutan sekian lama. Dan saya bersyukur ke hadrat Allah SWT dalam tempoh yang singkat apabila saya diberikan amanah setelah mendapat pandangan daripada Ahli Parlimen dan Ahli-Ahli Dewan Negeri kawasan yang berkenaan dan mendengar / mendapat maklum balas daripada beberapa pihak state holders di kawasan yang berkenaan, kita telah membuat keputusan untuk membatalkan pembangunan KIDEX ini.

Kredibiliti dan integriti seseorang pemimpin diukur diatas keupayaan membuat keputusan dan berani buat keputusan. Pemimpin tidak boleh diukur apabila dia tidak berani membuat keputusan dan senantiasa mengambil jalan selamat. Itu ukur seseorang pemimpin. Dalam isu KIDEX ini, pada 17 Februari 2015 MMKN telah bersidang dan telah membuat keputusan untuk tidak mempertimbangkan dan membatalkan pembangunan Lebuh Raya KIDEX. Dan keputusan ini adalah selaras dengan kegagalan pihak konsesi Projek Lebuh Raya KIDEX untuk memenuhi syarat-syarat yang ditetapkan oleh kerajaan negeri:-

a) Menyediakan penilaian Impak Lalu Lintas ataupun TIA yang bebas, Penilaian Impak Sosial (SIA) dan Penilaian Impak Alam Sekitar (EIA). Kajian perlu membuktikan manfaat yang ternyata kepada pihak pengguna dan penduduk di kawasan yang terlibat setelah mengambil kira kesan negatif yang timbul akibat pembinaan lebuh raya tersebut;

b) Kita juga telah menetapkan supaya pihak konsesi mendedahkan kadar tol sepanjang tempoh konsesi termasuk fasa kenaikan tol yang ditetapkan dalam konsesi. Pihak konsesi perlu memberi anggaran rasmi jumlah tol yang akan dikutip dan kadar pulangan pelaburan atau rate of return to investment;

c) Pihak konsesi perlu mendedahkan perjanjian konsesi sepenuhnya untuk mematuhi dasar kerajaan negeri yang mengamalkan prinsip ketelusan dan kebertanggungjawaban.

Syarat-syarat ini telah pun dikemukakan kepada pihak LLM dan Kementerian Kerja Raya pada 29 Disember 2014 di mana mereka perlu mematuhi syarat-syarat kerajaan negeri pada atau sebelum 15 Februari 2015.

Pada 19 Mac yang baru lalu, Menteri Kerja Raya telah datang bertemu dengan saya dan bertanya apakah kerajaan negeri bersedia menimbangkan semula pembangunan Lebuh Raya KIDEX.

Jawapan saya sekali lagi tegas dan jelas ‘kerajaan negeri tidak akan mempertimbangkan pembangunan Lebuh Raya KIDEX’.

Untuk makluman Ahli-ahli Yang Berhormat, saya juga telah menyatakan kepada Y.B. Menteri Kerja Raya bahawa sebarang pelaksanaan pembangunan projek di negeri Selangor perlu mematuhi peraturan Seksyen 20(a) Akta Perancangan Bandar dan Desa 1976 (Akta 172) Yang memperuntukkan tiada seorang pun boleh memulakan / mengusahakan atau menjalankan apa-apa pemajuan selain menurut kebenaran merancang yang diberikan kepadanya. Seksyen 20(a) Perancangan Bandar dan Desa 1976 (Akta 172) juga mengehendaki setiap jabatan atau agensi kerajaan berunding dengan Jawatankuasa Perancang Negeri terlebih dahulu berkenaan aktiviti pemajuan yang hendak dijalankannya. Ini adalah bagi membolehkan Pihak Berkuasa Negeri mengambil maklum berkenaan projek pembangunan yang hendak dilaksanakan dan mengelakkan kemungkinan pemajuan berkenaan terkeluar daripada perancangan dan seterusnya menyulitkan kerja-kerja penyelarasan pembangunan fizikal di kawasan tersebut.

Untuk makluman Y.B. Meru, kerajaan negeri juga mempunyai kedudukan yang kuat dari segi perundangan dengan mengguna pakai Seksyen 18(1) Akta 172 yang memperuntukkan tiada seorang pun boleh menggunakan atau membenarkan sesuatu tanah atau bangunan di gunakan melainkan menurut Rancangan Tempatan.

Untuk menjawab Y.B. Damansara Utama, kerajaan negeri juga telah memutuskan pembangunan Lebuh Raya KIDEX tidak dimasukkan dalam Rancangan Tempatan Majlis Bandar Raya Petaling Jaya. Lanjutan daripada itu, kerajaan negeri telah mengarahkan supaya pembangunan Lebuh Raya KIDEX tidak dimasukkan di dalam Draf Rancangan Struktur Negeri Selangor yang sedang digubal hari ini. Tindakan ini adalah jelas menunjukkan bahawa pembangunan Lebuh Raya KIDEX tidak dipertimbangkan dan dibatalkan pembangunannya oleh kerajaan negeri.

Berkaitan dengan persoalan yang dibangkitkan oleh Y.B. Meru tentang terma perjanjian yang telah ditandatangani sebelum ini, kerajaan negeri tidak pernah didedahkan tentang terma-terma Perjanjian Lebuh Raya KIDEX. Perjanjian adalah di antara kerajaan persekutuan iaitu Kementerian Kerja Raya dengan Syarikat Konsesi Lebuh Raya KIDEX Sdn. Bhd. Yang telah ditandatangani pada 15 November 2013 dan dokumen perjanjian diklasifikasikan sebagai ‘Sulit dan Terhad’. Kerajaan negeri telah meminta untuk perjanjian ini didedahkan kepada pihak awam, namun usaha tersebut tidak pernah diendahkan oleh kerajaan persekutuan.

Yang terakhir berkenaan dengan bantahan-bantahan yang telah diterima daripada penduduk seperti yang saya tegaskan tadi.

Saya sendiri telah turun bertemu dengan Ahli-Ahli Parlimen, Ahli- Ahli Dewan Negeri kawasan yang terlibat bersama-sama dengan Pertubuhan Say No To KIDEX dan antara bantahan yang dikemukakan ialah tiada kajian dan penerangan lengkap berhubung justifikasi pembinaan projek dari sudut ekonomi dan sosial. Yang kedua level of service juga tetap kekal di tahap F walaupun apabila lebuh raya siap dibina. Ketiga pencemaran bunyi masalah statik tentang sosio ekonomi dan isu keselamatan tidak diambil kira oleh pihak yang berwajib. Yang Keempat reka bentuk Lebuh raya dipersoalkan kerana tiada terus kepada jalan-jalan utama serta lebuh raya yang lain dan yang kelima secara perbandingan kos secara perbanding kos pembinaan struktur bertingkat ataupun elevator tidak setimpal dengan anggaran mobility penduduk berbanding menggunakan mood pengangkutan rel. Jadi atas alasan-alasan yang berkenaan Kerajaan Negeri sentiasa mengamalkan pendekatan mengambil kira pandangan orang ramai dalam menentukan kelulusan sesebuah projek agar ia membawa manfaat menyeluruh. Selain daripada pembangunan ekonomi pentadbiran juga menitik berat sumber sosial dan manusiawi dalam setiap projek yang diluluskan. Dasar pembangunan yang berkualiti rakyat dipeduli akan menjadi teras dalam setiap pembangunan di Negeri Selangor.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s