SOALAN DUN SELANGOR: PEMERIKSAAN MAMMOGRAM PERCUMA

Bertanya kepada Y.A.B. Dato’ Menteri Besar:-

  1. a) Apakah status program Pemeriksaan Mammogram Percuma untuk wanita di negeri Selangor dari segi bilangan yang sudah membuat pemeriksaan mengikut DUN?
  1. b) Apakah program lain yang dijalankan oleh Kerajaan Negeri bagi memberi kesedaran tentang pencegahan penyakit barah payudara di Selangor?

JAWAPAN:

  1. a) Pelaksanaan Mammogram masih diteruskan malah tindakan penambahbaikan program telah diambil dan dilaksanakan secara berterusan sehingga kini. Penambahbaikan ini adalah dari segi penambahan jumlah pengendali operasi Mammogram bagi memudahkan ramai lagi wanita di Negeri Selangor menikmati manfaat yang diberi. Untuk makluman sejak program ini dilancarkan sehingga Mac 2015 seramai 19,040 orang peserta telah mendapat manfaat daripada program tersebut seperti di Lampiran A.
  2. b) Kerajaan Negeri di bawah Jawatankuasa Tetap Hal Ehwal Wanita dan Keluarga telah bekerjasama dengan persatuan NGO, Persatuan Kebajikan Kanser Payudara Malaysia (Breast Canser Welfare Association Malaysia (BCWA)) telah mengadakan Kempen Kesedaran Pencegahan Awal Kanser Payudara dengan mengadakan Jelajah Anti Kanser Payudara bersama BCWA menggunakan van khas untuk pemeriksaan klinikal barah payudara secara percuma yang dinamakan Mobile Unit Reaching Nationwide with Information (MURNI).

Van MURNI merupakan sebuah truck yang telah diubah suai dengan dilengkapi peralatan klinikal bagi menjalankan kempen pencegahan kanser payudara. Van MURNI akan bergerak dari satu tempat ke satu tempat bagi membantu wanita di kawasan tersebut untuk menjalani ujian pengesanan awal kanser payudara secara klinikal dan mendapatkan informasi lebih lanjut berkenaan barah payudara.

Advertisement

SOALAN DUN SELANGOR: PENGGUNAAN PERUNTUKAN MARRIS

Bertanya kepada Y.A.B. Dato’ Menteri Besar:-

  1. a) Bagaimana Peruntukan MARRIS dapat digunakan untuk membaik pulih jalan-jalan yang di dalam kawasan perumahan bertingkat?
  1. b) Apakah pindaan kepada Garis Panduan Penggunaan Peruntukan MARRIS yang boleh dibuat bagi melebarkan penggunaan peruntukan untuk infrastruktur lain?

JAWAPAN:

  1. Pemberian Penyelenggaraan Jalan Negeri atau peruntukan MARRIS dibuat di bawah peruntukan Perkara 109 (1) (b), Perlembagaan Persekutuan dengan tujuan untuk membantu Kerajaan Negeri menyelenggara jalan negeri di negeri masing-masing. Perbelanjaan peruntukan ini dibuat secara teliti berpandukan kepada Garis Panduan Tatacara Pengurusan Pemberian Jalan Negeri yang disediakan oleh Kementerian Kewangan Malaysia (MOF). Tafsiran istilah ‘Jalan Raya Negeri’ berdasarkan perenggan 3 garis panduan tersebut ialah jalan raya negeri yang disenggara oleh Jabatan Kerja Raya (JKR) Negeri.

Garis panduan yang sama turut menggunapakai tafsiran ‘Jalan Negeri’ yang dinyatakan pada Seksyen 5 dan Seksyen 6 (2) (b), Bahagian 2 Jadual Kesepuluh, Perlembagaan Persekutuan yang berbunyi seperti berikut:-

Seksyen 5

Dalam bahagian ini dalam Jadual ini, ‘jalan negeri’ ertinya mana-mana jalan awam, selain jalan persekutuan, dan mana-mana jalan lain, selain jalan persekutuan yang boleh dilalui oleh orang ramai.

         

Seksyen 6 (b)

 

“ mana-mana batang jalan yang disenggarakan oleh sesuatu pihak berkuasa tempatan atas perbelanjaan Negeri hendaklah dikira sebagai disenggarakan oleh Jabatan Kerja Raya Negeri itu.”

 

Sungguhpun begitu, jalan-jalan yang berada di dalam kawasan perumahan bertingkat adalah tergolong di dalam tafsiran “harta bersama” yang berada di bawah tanggungjawab pihak Badan Pengurusan Bersama (Joint Management Body – JMB) selaras dengan Seksyen 2, Akta Bangunan dan Harta Bersama (Penyenggaraan & Pengurusan) 2007 (Akta 663). Jalan-jalan tersebut juga tidak diselenggara oleh Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) dan tidak didaftarkan dalam Sistem MARRIS Online. Oleh yang demikian, peruntukan MARRIS tidak boleh digunakan secara langsung untuk membaikpulih jalan di kawasan perumahan bertingkat.

  1. b) Sebarang cadangan pindaan kepada Garis Panduan Tatacara Pengurusan Pemberian Jalan Negeri bagi meluaskan penggunaan peruntukan berkenaan kepada lain-lain perkara yang tidak tersenarai dalam garis panduan tersebut perlulah dikemukakan kepada Kementerian Kewangan Malaysia untuk diteliti oleh Jawatankuasa Pengurusan Pemberian Penyenggaraan Jalan Negeri sebelum diangkat untuk kelulusan Majlis Kewangan Negara.