KONTRAK SEWA BELI JET PERIBADI BARU PERDANA MENTERI BERJUMLAH RM465,411,952.58

17 MAC 2015

Saya telah mendedahkan semalam bahawa pentadbiran Dato’ Seri Najib Tun Razak telah membeli sebuah lagi jet peribadi (“private jet”) kerajaan jenis ACJ320. Perkara ini telah disahkan oleh Jabatan Perdana Menteri melalui satu kenyataan yang dikeluarkan lewat semalam.

Isu utama yang dipersoalkan ialah kewajaran membeli sebuah lagi jet peribadi di kala kerajaan sudah pun mempunyai 6 jet peribadi termasuklah pesawat ACJ319 sedia ada. Tambahan pula kedudukan kewangan negara yang dibebani dengan hutang sehingga subsidi minyak pun terpaksa dihapuskan menimbulkan kemarahan rakyat apabila dana rakyat seolah-olah digunakan untuk Perdana Menteri dan Jemaah Menteri bersenang-lenang.

Oleh sebab itu, rakyat perlu tahu berapakah dana rakyat yang telah dan akan digunakan untuk membiayai pembelian jet peribadi baru ini. Bersama-sama ini saya sertakan satu mukasurat perjanjian di antara Kerajaan Malaysia dan Jet Premier One (Malaysia) Sdn Bhd yang memperincikan kos pembelian jet peribadi baru ACJ320 ini.

Perlu diingatkan bahawa kos yang diperincikan di sini hanyalah kos membeli (melalui kaedah sewa beli) dan tidak termasuk kos operasi, kos penyenggaraan dan lain-lain yang dipersetujui melalui satu lagi perjanjian.

Butir-butir utama pembelian jet peribadi baru ACJ320 untuk kegunaan Perdana Menteri, keluarga dan Jemaah Menteri adalah seperti berikut:

  1. Kerajaan Malaysia akan membayar pembelian ini dengan pembayaran deposit USD20 juta (telah dibayar) dan bakinya dibayar melalui ansuran bulanan selama 15 tahun
  1. Bayaran deposit USD20 juta yang telah dibayar adalah bersamaan RM65.22 juta mengikut kadar tukaran matawang yang ditetapkan semasa perjanjian iaitu USD1 bersamaan RM3.261
  1. Kerajaan Malaysia akan membayar ansuran sebanyak USD679,984 sebulan bersamaan RM2.217 juta sebulan selama 15 tahun untuk melangsaikan baki hutang
  1. Jumlah kos sewa beli keseluruhan untuk membeli jet peribadi baru ini adalah RM465,411,952.58 termasuk yuran perkhidmatan (“entry into services”)
  1. Sebarang risiko kadar matawang yang menyusut ditanggung oleh Kerajaan Malaysia sepanjang tempoh 15 tahun itu. Dalam keadaan nilai matawang Ringgit Malaysia turun seperti sekarang, Kerajaan Malaysia akan membayar lebih untuk menanggung kerugian akibat nilai matawang Ringgit Malaysia yang jatuh

Berdasarkan terma-terma ini, sudah tentu harga akhir yang akan ditanggung oleh rakyat adalah lebih tinggi dari RM465,411,952.58. Saya yakin tidak ada rakyat Malaysia yang bersetuju membelanjakan hamper setengah billion Ringgit Malaysia dana rakyat sedangkan masih ada mangsa banjir di Kelantan yang tinggal di dalam khemah.

RAFIZI RAMLI

NAIB PRESIDEN/SETIAUSAHA AGUNG

AHLI PARLIMEN PANDAN

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s