Ucapan Perasmian Konvensyen Kepimpinan Wanita Selangor; Wanita Mandiri, Pembangunan Lestari

Teks Ucapan Perasmian
Y.A.B. Dato’ Menteri Besar Selangor
Mohamed Azmin bin Ali
Sempena
Konvensyen Kepimpinan Wanita Negeri Selangor 2014
“Wanita Mandiri, Pembangunan Lestari”
Holiday Villa, Subang Jaya
Selasa, 23 Disember 2014

1) Syabas kepada Yang Berhormat Dr. Daroyah binti Alwi kerana tangkas mengadakan konvensyen ini, selari dengan strategi Belanjawan Negeri Selangor, memberdaya wanita dalam pembangunan negara.

2) Meskipun strategi yang digariskan ini mengkhusus kepada aspek ekonomi, ia sebenarnya adalah asas awal bagi mendorong kaum wanita berdikari atau mandiri dan sekaligus menjadi suara penting pembangunan lestari, iaitu pembangunan yang memenuhi tuntutan hari ini dan menjamin masa hadapan.

3) Pemikiran dogmatik dan negatif terhadap wanita yang masih wujud dalam masyarakat perlu dileburkan. Sebagaimana yang telah ditunjukkan dalam sejarah, perjuangan inklusif mengangkat kedudukan wanita adalah perjuangan bersama kaum wanita dan kaum lelaki.

4) Kita mengambil inspirasi daripada sumbangan ramai tokoh wanita Asia dan dunia dalam perjuangan kemerdekaan dan hak madani antaranya Raden Adjeng Kartini yang tegas memperjuangkan hak pendidikan untuk wanita. Beliau adalah wanita pertama dalam dunia Islam yang menentang penjajahan Belanda di Indonesia. Kita mengkagumi Rosa Parks yang menjuarai hak sivil kaum kulit hitam dan wanita di Amerika Syarikat. Sarojini Naidu pula memperjuang kemerdekaan India dan selepas itu diangkat menjadi Presiden Parti Kongres India.

5) Dalam konteks semasa kita kagum dengan kebolehan wanita dalam industri perbankan yang ditampilkan oleh Tan Sri Zeti Akhtar dan tokoh korporat global Indira Nooyi yang menerajui PepsiCo.

6) Ungkapan “tangan yang menghayun buaian boleh menggoncang dunia,” harus dilihat dalam konteks pembebasan (liberating force) agar kesaksamaan dan keadilan terhasil (justice and fairness will prevail).

7) Potensi peranan wanita sebagai unsur kekuatan untuk pembebasan terserlah dengan peningkatan penyertaan wanita dalam pendidikan. Menurut Bank Dunia, kadar kemasukan wanita ke Institusi Pengajian Tinggi di Malaysia bukan sahaja lebih tinggi berbanding lelaki, tetapi turut berkembang lebih pantas pada kadar 22.5 peratus pada tahun 1999 kepada 45 peratus pada tahun 2009, berbanding lelaki pada kadar 22.5 peratus pada tahun 1999 tetapi hanya pada kadar 35 peratus pada tahun 2009.

8) Jumlah wanita yang mempunyai sijil, diploma dan ijazah berkembang daripada 57 peratus pada tahun 2000 kepada 68.9 peratus pada tahun 2010, sementara lelaki pula 62.6 peratus pada tahun 2000 kepada 66.8 peratus pada tahun 2010.

9) Bank Dunia juga menunjukkan penyertaan wanita dalam sektor pekerjaan, meskipun tinggi pada usia muda, namun menjunam selepas memasuki usia 30 – an.

10) Fenomena ini disokong oleh data Labour Force and Social Trends in ASEAN yang dikeluarkan pada tahun 2008, di mana bilangan pekerja wanita di Malaysia adalah terendah di kalangan negara ASEAN.

11) Meskipun wanita membentuk 50 peratus daripada kemasukan kerja profesional, hanya terdapat 5 hingga 6 peratus Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) dan juga ahli lembaga pengarah dipegang oleh wanita.

12) Dalam aspek politik, jumlah perwakilan wanita Malaysia di Parlimen juga direkodkan antara yang terendah di kalangan negara ASEAN iaitu pada kadar 10.4 peratus berbanding Thailand (13.3 peratus), Indonesia (18 peratus), Filipina (22.1 peratus), Singapura 22.2 peratus dan Vietnam (24.4 peratus).

13) Kita menyedari wujudnya wanita yang memilih untuk tidak bekerja, atau keluar dari dunia pekerjaan, meskipun memiliki kelayakan dan kebolehan. Opt – Out Revolution, di mana wanita professional dan eksekutif tinggi memilih untuk berhenti kerja perlu dibahaskan dengan serius.

14) Rencana Opt – Out Revolution yang ditulis oleh Elisa Belkin dalam the New York Times pada 26 Oktober 2003 ini membahaskan persoalan wanita berkelulusan tinggi memilih untuk meninggalkan kerjaya kerana persoalan ‘kepuasan’ (satisfaction), ‘keseimbangan’ (balance) dan ‘kewarasan’ (sanity). Dalam maksud lain, kekangan yang ada mendorong wanita untuk mendefinisikan semula maksud dan tujuan pekerjaan (redefining work).

15) Kajian Association of Chartered Certified Accountants (ACCA) mendapati wanita profesional di Malaysia berhenti kerja atas sebab komitmen keluarga, dan kurangnya keseimbangan dalam kerja dan kehidupan (work – life balance).

16) Work – life balance ini adalah sebuah konsep tentang keutamaan antara pekerjaan dengan kualiti kehidupan seperti aktiviti bersama keluarga, riadah, kerohanian dan sebagainya. Sesungguhnya manusia mempunyai kehidupan lebih luas dan bermakna selain pekerjaan semata – mata.

17) Daripada kajian yang dibuat, ternyata 93 peratus wanita mahu kembali bekerja tetapi 63 peratus daripada mereka merasakan sukar untuk berbuat demikian.

18) Oleh kerana itu, adalah penting untuk menyediakan sistem sokongan seperti penyediaan tempat penjagaan anak di tempat kerja, bagi membolehkan sebab-sebab yang mengekang wanita terus menyumbang dalam ekonomi ditangani dengan baik. Sekiranya ini dapat dilakukan, ia pastinya turut membantu pertumbuhan pendapatan isi rumah dan sekaligus menangani sejumlah masalah yang timbul akibat kekurangannya.

19) Kegagalan memberi perhatian kepada persoalan ini akan mengakibatkan pembazirkan sumber daya dan potensi modal manusia negara dari kalangan wanita. Peningkatan penglibatan dalam dunia pekerjaan perlu dilihat sebagai kunci yang membuka potensi pertumbuhan ekonomi dan pengembangan kekayaan negara.

20) Untuk membolehkan sumber ini menyerlah, usaha perlu dimulakan dalam semua aspek, daripada persepsi hingga undang – undang, iaitu dengan mengiktiraf wanita sebagai elemen inklusif pembangunan masyarakat dan negara yang lestari di samping perlindungan terhadap wanita daripada keganasan domestik hingga diskriminasi gender.

21) Mengambil manfaat ledakan teknologi di manaconnectivity dan pertumbuhan diimbangi dengan perkembangan teknologi maklumat, Kerajaan Negeri Selangor akan menyediakan kemudahan WiFi percuma dengan prasarana 2,500 hotspots sebagai satu aspek sistem sokongan yang boleh membantu wanita bekerja dari rumah.

22) Kerajaan Negeri Selangor perlu memulakan inisiatif untuk membolehkan wanita – wanita yang kini bekerja dalam sektor kerajaan atau syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dapat bekerja dari rumah, atau sekurang – kurangnya bekerja dengan jadual waktu anjal. Inisiatif ini perlu dilaksanakan sebagai satu pilihan terkini dan juga masa hadapan.

23) Reformasi ini perlu dilakukan segera bagi membendung Opt – Out Revolution dari merebak kerana negara akan terus menanggung kehilangan bakat dan upaya wanita akibat tenaga mahir yang beralih dan terpendam. Negara telah melakukan pelaburan yang tinggi terhadap wanita, melalui pendidikan dari peringkat rendah hingga ke peringkat tinggi. Mengabaikan pelaburan ini adalah satu tragedi kolektif. Kita perlu merumus dasar – dasar baru, anjakan dan reformasi dalam cara pekerjaan seperti memperkenalkan waktu anjal dan bekerja dari rumah untuk menangani cabaran ini agar negara tidak kehilangan brain and talent bank dari kalangan wanita.

24) Kita mesti mampu menjadikan tanggungjawab bagi menjaga dan membina keluarga sebagai sebahagian daripada sumber produktif negara, bukan beban yang mengekang. Ia bukan soal memilih yang mana satu tetapi satu ciri pembangunan lestari di mana seorang wanita boleh terus menyumbang kepada produktiviti negara sambil memastikan keperluan hidup yang lain terjaga.

25) Saya yakin banyak lagi yang boleh dilakukan untuk pemberdayaan wanita. Saya berharap semua yang ada di sini dapat menjadi pemangkin untuk mengajak lebih ramai lagi terlibat dalam usaha membentuk budaya baru dalam pembangunan, mengiktiraf wanita sebagai satu sumber daya yang mesti diserlahkan, membuang budaya yang mengekang penglibatan aktif mereka dalam aspek membuat keputusan di pelbagai peringkat, di samping menjadi pemelihara kepada maruah dan keselamatan diri mereka.

26) Abad ke 21 akan menjadi milik Asia. Paksi kegiatan ekonomi sedang beralih dari Barat ke Asia. Wanita perlu menjadi penyumbang dan pencipta bersama Abad Asia. Untuk menjadikan wanita sebagai rakan penciptaan Abad Asia memerlukan anjakan pemikiran dengan mengikis sikap dan realiti ketidakadilan gender. Hanya dengan melakukan pembaharuan dan reformasi dunia pekerjaan agar melaksanakan dasar lebih gender inclusive Abad Asia yang diidamkan akan lebih bersifat menyeluruh, adil dan mesra gender.

27) Dengan lafaz Bismillahirahmannirrahim, marilah kita bersama menyempurnakan Perasmian Konvenysen Kepimpinan Wanita Negeri Selangor 2014 bertemakan “Wanita Mandiri, Pembangunan Lestari”.

Selamat berkonvensyen.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s