PENGUMUMAN PEMBERIAN PERMIT TEKSI BUKTI PROGRAM PAKATAN RAKYAT LEBIH BAIK

[Kenyataan Media – 25 Mac 2013]

Pengumuman Pemberian Permit Teksi Bukti Program Pakatan Rakyat Lebih Baik

 

Pengumuman Dato’ Seri Najib Tun Razak bahawa 1,000 permit teksi akan diberikan kepada pemandu-pemandu teksi terpilih mengesahkan beberapa perkara.

Pertama, ia pengakuan terbuka Umno/Barisan Nasional bahawa dasar dan program ekonomi yang dicadangkan oleh Pakatan Rakyat (melalui Dasar Bersama, Buku Jingga dan Manifesto Rakyat) benar-benar memenuhi citarasa dan tuntutan rakyat.

Kedua, ia mengesahkan bahawa program-program ini mampu dilaksanakan dan tidak mengundang kesan kewangan yang buruk, seperti yang dituduh oleh Umno/Barisan Nasional.

Ketiga, ia membuktikan terdesaknya Dato’ Seri Najib Tun Razak sehinggakan beliau tidak lagi mempunyai perasaan malu untuk menciplak idea dasar dan program yang dibawa oleh Pakatan Rakyat.

Pun begitu, saya mengkritik sekerasnya kenyataan Dato’ Seri Najib Tun Razak yang cuba mengumpan pemandu teksi untuk mengundi Barisan Nasional. Ucapan beliau berbaur ugutan politik apabila beliau menyatakan bahawa pemandu teksi perlulah “bai’ah” (mengikat janji) untuk mengundi Barisan Nasional jika mahu mendapatkan lebih banyak permit persendirian di masa hadapan.

Setakat ini, Umno/Barisan Nasional terus gagal untuk mengumumkan manifesto mereka sendiri. Sebaliknya, Dato’ Seri Najib Tun Razak menciplak idea dasar Pakatan Rakyat dan mengumpan rakyat dengan berjanji akan melaksanakan program-program Pakatan Rakyat itu sekiranya Barisan Nasional menang dalam Pilihanraya Umum ke-13.

Oleh sebab itu, saya tidak hairan lagi kenapa Dato’ Seri Najib Tun Razak tidak berani berdebat secara terbuka dengan Dato’ Seri Anwar Ibrahim mengenai dasar-dasar dan program ekonomi. Beliau nampaknya tidak mempunyai idea dan kepakaran ekonomi kerana sering terpaksa bergantung kepada idea orang lain, termasuklah idea Pakatan Rakyat sendiri.

Saya pasti pemandu-pemandu teksi yang ada di seluruh negara faham bahawa pengumuman Dato’ Seri Najib Tun Razak hanyalah satu gimik politik untuk menenangkan kemarahan mereka selama ini. Penyelesaian berpanjangan isu permit teksi ini terletak di tangan Pakatan Rakyat yang mula-mula sekali memperjuangkan isu ini.

RAFIZI RAMLI

Pengarah Strategi

25 MAC 2013

Advertisement

SELAMAT MENYAMBUT HARI WANITA : WANITA BERDAYA NEGARA SEJAHTERA

Hari Wanita Sedunia disambut seluruh dunia setiap 8 Mac bagi meraikan pencapaian ekonomi, politik dan sosial wanita. Tema Hari Wanita oleh Perubuhan Bangsa –Bangsa Bersatu pada tahun ini adalah “A Promise is A Promise: Time For Action To End Violence Against Women”.

Di Malaysia, hampir 50% komposisi penduduk berjumlah 28 juta orang adalah terdiri daripada wanita. Pun begitu, wanita masih dianggap dan dilayan seperti warganegara kelas kedua. Diskriminasi dalam pekerjaan, tangga gaji, politik dan sosial masih berlaku di Negara yang Perdana Menteri merangkap Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Najib Tun Razak berkata tidak perlunya gerakan wanita bagi menuntut hak wanita di Malaysia. Hakikatnya, kedudukan Malaysia dalam The Global Gender Index Gap 2011, Malaysia jatuh di kedudukan ke – 97 daripada 135 negara berbanding negara Asia Tenggara lain Filipina ke – 8, Singapura ke – 57, Thailand ke – 60 dan Brunei ke – 76.

Pakatan Rakyat yang menyedari bahawa peranan wanita itu amat penting dalam mencorakkan masa depan Negara, lahir dengan Agenda Wanita Malaysia. Falsafah Hormat Wanita akan menjadi tunjang kepada perlaksanaan Agenda Wanita Malaysia yang yang akan mengangkat martabat wanita sesuai dengan dasar – dasar yang mesra wanita bagi mengiktiraf peranan wanita dalam membentuk asas jati diri masyarakat Malaysia.

Dikesempatan ini saya ingin mengucapkan Selamat Menyambut Hari Wanita 2013 buat seluruh wanita Malaysia. Saya menyeru agar wanita dapat bertindak bijak memilih sebuah Kerajaan yang mempunyai kemahuan politik untuk menghapus diskriminasi terhadap wanita, iaitu sebuah Kerajaan Pakatan Rakyat yang berwibawa dan adil terhadap seluruh rakyat.

 

Wanita Berdaya Negara Sejahtera.

 

ZURAIDA KAMARUDDIN

KETUA WANITA KEADILAN