Konsep baru pemilikan rumah

SHAH ALAM 16 Jan – Kerajaan Negeri Selangor akan memperkenalkan satu konsep baru mengenai pemilikan rumah yang selari dalam Program Merakyatkan Ekonomi Selangor (MES) untuk menyelesaikan masalah polisi pemilikan dan pembinaan rumah di Negeri Selangor.

Menteri Besar Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim menyatakan keperluan perancangan sebegini perlu bagi memastikan penduduk Selangor dapat memiliki rumah mengikut kemampuan mereka.

Khalid membayangkan konsep Pakatan Rakyat (Pakatan) adalah berbeza dengan konsep biasa yang diamalkan sebelum ini, di mana segmentasi masyarakat terjadi ekoran tiada kawalan penuh mengenai pemilikan dan pembelian rumah oleh individu.

“Itu konsep kita, bukan sekat-sekat, perlu ada mobiliti kepada penduduk untuk berpindah ke tempat lain. Kalau tidak kita akan segmenkan masyarakat. Pada kita masyarakat makin lama akan makin maju sebab itu.

“Kita akan bentangkan nanti sebab itu kita katakan ‘merakyatkan ekonomi’ itu konsep yang besar,” katanya.
Beliau menyatakan demikian ketika sidang media sempena Program Menaik Taraf Kehidupan Rakyat Petaling Jaya bersama Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Taman Medan, Haniza Talha dan Ahli Parlimen Petaling Jaya, Selatan Hee Loy San.

Program naik taraf ini dijalankan bagi membantu penduduk di pangsapuri di bawah kelolaan Kerajaan Negeri Selangor dan Majlis Perbandaran Petaling Jaya dapat dicantikkan dan dibaiki sekali gus meningkatkan kualiti hidup rakyat.

Sebelum ini, kerajaan negeri telah mencuba satu polisi dalam satu projek syarikat pemaju TPPT Sdn. Bhd. di mana pembinaan rumah mampu milik untuk menggantikan rumah kos rendah. dengan keluasan 700 kaki persegi dengan harga tidak lebih dari RM65,000.

Menurut Khalid, hal ini memberi lebih kebebasan kepada pemilik untuk memiliki rumah.
Bagaimanapun Khalid menyatakan kerajaan negeri telah mempunyai pengkalan data dan rekod pemilikan rumah bagi mengelak individu membeli sewenang-wenangnya.

“Kami tidak selektif dalam hal ini… tidak semestinya orang kaya akan membelinya. Boleh jadi pembeli daripada golongan berpendapatan rendah, tapi taraf keluarga dah bertambah baik atau anak dia sudah berjaya, dia berkongsi untuk beli rumah tersebut.

“Kita akan kaji semuanya, akhirnya akan ada rumah yang cukup untuk semua orang,” katanya lagi.
Menurut Khalid lagi, perbincangan dan kajian masih dilakukan sebelum polisi yang efektif dan menyeluruh dapat dikeluarkan.

“Masalahnya yang utama ialah projek terbengkalai. Kalau tandantangani polisi pun tak selesai sebab pemaju lari. Sebab itu kita kata Selangor akan tengok secara pragmatik untuk selesaikan masalah,” katanya.

Advertisement

CERAH – Program Pemeriksaan Mata Percuma

Program CERAH diadakan setiap tahun di DUN Tmn Medan, khusus untuk pelajar sekolah

Antara pelajar yang sedang memilih bingkai cermin mata yang ditawarkan

Mac 2011 – CERAH, program pemeriksaan mata percuma dan cermin mata bagi pelajar-pelajar yang dipilih daripada keluarga kurang mampu. Oleh sebab CERAH banyak membantu pelajar-pelajar mendapatkan cermin mata pada harga yang murah, ia akan dikembangkan ke sekolah-sekolah dengan menawarkan cermin mata pada harga yang patut.

Program CERAH akan ke sekolah-sekolah rendah di sekitar DUN Tmn Medan tidak lama lagi.

Sikap perlu berubah kepada yang lebih baik

Pembuangan sampah di tepi jalan masuk PJS 4 bersebelahan flat Desa Ria

Sampah di kiri kanan jalan, kotor dan mencemarkan persekitaran

Walaupun tong sampah disediakan untuk sementara, sampah masih berselerak

Pihak majlis dimarah tidak bersihkan kawasan, sedangkan tapak bukan tempat buang sampah dan tidak dibenarkan buang sampah

Mac 2011 – Pihak yang tidak bertanggungjawab telah membuang sampah sesuka hati mereka. Tindakan mereka telah menyebabkan kawasan menjadi kotor dan mengundang penyakit dan ketidakselesaan penduduk sekitar.

Namun, sikap mereka yang hanya mementingkan diri tidak menghiraukan itu semua. Sikap perlu berubah, bukan sahaja yang membuang sampah tetapi semua yang mahukan kebesihan dan keselesaan persekitaran.

Tempat membuang sampah ada disediakan di tempat yang sesuai tetapi tetap dibuang di tempat yang tidak dibenarkan. Pemantauan oleh penduduk sekitar sangat perlu bagi memastikan mereka yang bersalah dapat diambil tindakan ke atas mereka.

Penyerahan cek dan sumbangan oleh ADN Tmn Medan

Penyerahan sumbangan kepada Surau Al-Akhlaqiah bagi baikpulih ceiling yang runtuh

Sumbangan kepada Rizuan yang cedera akibat kemalangan yang sebelum ini menanggung keluarga. Keluarga terpaksa tinggal di flat kos rendah

Sumbangan kepada pesakit terlantar yang baru mengalami stroke

Menziarah warga emas yang tinggal bersama seorang anak

Selangor lancar Skim Mikro Kredit MIMBAR bantu miskin bandar

Pemohon MIMBAR yang menunggu ditemubual di PejabatADUN Tmn Medan

3 Mac 2011 – Kerajaan Negeri Selangor hari ini melancarkan sistem mikro kredit miskin bandar (MIMBAR) bagi membantu golongan berpendapatan rendah meningkatkan pendapatan mereka.

MIMBAR adalah terbuka kepada penduduk kawasan bandar di Selangor yang mempunyai pendapatan isi rumah di bawah RM1,500 sebulan, di mana pemohon layak mendapat pinjaman maksimum RM5,000.

Menteri Besar Abdul Khalid Ibrahim dalam ucapan pelancaran MiMBAR di sini hari ini berkata buat permulaan sejumlah RM20 juta diperuntukkan oleh kerajaan negeri bagi tabung itu yang antaranya bertujuan membantu usahawan kecil.

“Ini penting bagi memastikan miskin bandar di Selangor diberi persediaan untuk keluar daripada garis kemiskinan negeri iaitu memiliki pendapatan isi rumah bulanan melebihi RM1,500.”

Beliau berkata menjelang 2020, 90 peratus daripada Selangor akan menjadi kawasan bandar di mana barangan keperluan harian kebanyakannya perlu dibeli dan ini memerlukan ekonomi isi rumah yang kukuh.

Abdul Khalid berkata kejayaan skim ini bergantung kepada kepatuhan peminjam untuk membayar balik pinjaman yang diterima mereka.

Bernama