30 JAN 2009 MESYUARAT PERTAMA JAWATANKUASA TINDAKAN MENANGANI MASALAH PEMBERHENTIAN PEKERJA DI SELANGOR

Friday, 30 January 2009 | Ruangan: Kenyataan Media

SHAH ALAM –Jawatankuasa Tindakan Menangani Masalah Pemberhentian Pekerja di Selangor telah mengadakan mesyuarat pertama yang telah dipengerusikan oleh Dato’ Menteri Besar Selangor. Selain dari barisan EXCO serta beberapa unit kerajaan dan anak syarikat kerajaan negeri, mereka yang turut hadir adalah Kesatuan Pengilang Malaysia (FMM atau Federation of Manufacturers, Malaysia), Kongres Kesatuan Pekerja Malaysia (MTUC), Jabatan Kebajikan Masyarakat serta Lembaga Kemajuan Perindustrian Malaysia (MIDA).

Dalam mesyuarat yang telah berjalan lebih dari satu jam ini, jawatankuasa ini telah dimaklumkan tentang keadaan ekonomi Negeri Selangor, tahap kesedaran berkaitan kemelesatan ekonomi dikalangan penduduk serta impak kelesuan ekonomi terhadap peluang pekerjaan di Negeri Selangor.

Mereka yang hadir juga mendapat pandangan dan cadangan dari FMM, MTUC, Jabatan Kebajikan Masyarakat dan MIDA tentang pengendalian maklumat tepat statistik mereka yang kehilangan pekerjaan, maklumat terperinci peluang pekerjaan yang ada serta pelan-pelan tindakan yang lain.

Antara cadangan yang diutarakan adalah menggunapakai sistem pendaftaran dipejabat Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) supaya data mereka yang kehilangan pekerjaan boleh direkodkan secara sistematik dan tepat.  Jawatankuasa ini telah juga membincangkan tentang kemungkinan mendapatkan kerjasama dan khidmat nasihat daripada syarikat atau agensi pekerjaan seperti Jobstreet.com dalam pengendalian dan pengumpulan data-data pekerja yang telah diberhentikan serta mencari peluang-peluang pekerjaan lain yang bersesuaian.

Jawatankuasa akan bermesyuarat sekali lagi pada minggu hadapan bagi mendapat penerangan daripada Jabatan Tenaga Kerja tentang bajet sebanyak RM 200 Juta yang telah diperuntukkan oleh Kerajaan Pusat bagi penyediaan kursus-kursus Latihan bagi membantu pekerja-pekerja yang telah hilang pekerjaan serta cara penggunaan baget tersebut akan dapat dilaksanakan bagi mencapai objektif sasaran. Jawatankuasa ini juga akan memanggil syarikat agensi pekerjaan, persatuan usahawan kecil dan Lembaga Zakat Negeri untuk mendapatkan pandangan mereka bagi mencari jalan terbaik untuk meringankan beban mereka yang telah hilang pekerjaan.

Kerajaan Negeri Selangor berharap dengan adanya jawatankuasa ini akan dapat sedikit sebanyak membantu meringankan beban pekerja-pekerja di Selangor yang telah diberhentikan.

Advertisement

Selangor FM Lancar Tujuh Program Baru Untuk 2009

SHAH ALAM, 1 Feb (Bernama) — Stesen Radio Jabatan Penyiaran Selangor, Selangor FM hari ini melancarkan tujuh program baru pada hari ini bagi meningkatkan kualiti program dan jumlah pendengarnya.

Selangor FM dalam satu kenyataan di sini berkata tujuh program baru yang dilancarkan oleh Pengarah Penyiaran Selangor Isamudin Ahmad ialah sejoli, sekacip, chef@SELANGORfm, destinasi, Papa Yo!, Doktor Islam dan Hadis.

Antara program yang dijangka menarik perhatian 110,000 pendengar setia stesen itu ialah Doktor Islam di mana para pendengar akan mendapat petua menjaga kesihatan mengikut sudut pandangan Islam yang akan disampaikan mulai Sabtu depan oleh doktor-doktor yang bertauliah dan mempunyai kefahaman mengenai kaitan penjagaan kesihatan dengan agama, kata kenyataan itu.

Selain daripada itu, para pendengar juga boleh mendapat petua daripada rancangan Sekacip, maklumat-maklumat mengenai destinasi pelancongan menarik di Selangor melalui program destinasi dan gosip-gosip hangat melalui program Papa Yo!

Pada majlis pelancaran itu, juga para pendengar setia Selangor FM yang merupakan anggota Sahabat Selangor FM juga berpeluang bertemu dengan juruhebah-juruhebah radio yang diminati dan berpeluang menyaksikan mereka beraksi di dalam konti-konti di Wisma Radio, Angkasapuri, kata kenyataan itu. — BERNAMA