Seksisma dalam Parlimen Malaysia

oleh Rozaini Mohd Rosli
Suara Keadilan 28 Jan – 4 Feb 2009

 
Seksisme (sexism) adalah usaha atau tindakan, sama ada secara sedar atau tidak, yang merendah-rendahkan martabat dan status wanita.
 
Dalam negara yang mendokong demokrasi, pemikiran berunsurkan seksisme menafikan peluang dan hak wanita dalam pelbagai perkara dan bidang, khususnya dalam proses membuat keputusan yang terbaik untuk negara dan masa depan rakyat Malaysia di mana 50% daripada penduduknya adalah terdiri daripada wanita. “Itu dikira sebagai suatu defisit dalam demokrasi yang meminggirkan pengalaman, pengetahuan dan kepakaran wanita dalam bidang-bidang yang diceburi dan diterajui mereka,” kata Ketua Wanita KeADILan, Zuraida Kamaruddin.

 
Sebelum ini, Wanita KeADLan telah beberapa kali mengutarakan keburukan-keburukan seksisme dan pemikiran yang berkaitan dengannya. Seksisme mesti ditangani dengan tegas dengan denda-denda yang setimpal, khususnya jika ia berlaku di Parlimen, yang menuntut pertuturan, bicara dan tindakan yang mulia.

 

Mereka yang mengeluarkan kenyataan atau ungkapan-ungkapan yang seksis terbit daripada Ahli-Ahi Parlimen, khususnya daripada BN dalam persidangan-persidangan di Dewan Rakyat. Insiden-insiden seperti yang berlaku pada 9 Mei, 2007, di mana insinuasi berbau seksis daripada dua orang Ahli Parlimen, Radin Bung Mokhtar (BN-Kinabatangan) dan bekas Ahli Parlimen, Mohd Said Yusuf (BN-Jasin) terhadap wakil rakyat Batu Gajah, Fong Po Kuan, serta kes membabitkan Ahli Parlimen (BN-Pasir Salak), Tajuddin Abdul Rahman baru-baru ini.
 
Tegas Zuraida Kamaruddin, insiden-insiden yang mencemar maruah wanita di Parlimen mencerminkan defisit dalam penghayatan sensitiviti gender di kalangan wakil-wakil rakyat, malah memperlihatkan keadaan buta gender.

Situasi sedemikian mengunjurkan suatu natijah yang membimbangkan bilamana para wakil rakyat dituntut untuk menggubal dasar-dasar yang mengesani 50% daripada penduduk Malaysia yang terdiri dari wanita; kebimbangan bahawa perspektif dan keperluan wanita dialpakan, secara sedar atau tidak, dalam perbincangan menggubal dasar-dasar negara kerana wujudnya pemikiran seksis sedemikian.
 
“Berbagai pihak, khususnya daripada kalangan Wanita KeADILan sendiri telah lama mengutarakan agar tindakan tegas diambil terhadap wakil-wakil rakyat yang cuai dalam memelihara sensitiviti gender dalam persidangan-persidangan di dalam atau pun di luar Parlimen,” kata Zuraida.

 
Antara yang telah dicadangkan ialah menggantung status Ahli Parlimen selama enam bulan, didenda dengan melaksanakan khidmat sosial kepada organisasi wanita selama enam bulan, menderma elaun Parlimen yang diperoleh kepada organisasi wanita, menyatakan maaf kepada mangsa seksisme. Sekiranya enggan, khidmat sosial dalam organisasi wanita itu dilanjutkan sehingga 12 bulan.
 
Kata Zuraida Kamaruddin lagi, “Kenyataan-kenyataan pemimpin wanita MCA dan Menteri di Jabatan Perdadna menteri, Mohamed Nazri Abdul Aziz baru-baru ini dalam soal seksisme ini bukanlah sesuatu yang baru. Dalam keadaan di mana BN boleh membawa perubahan segera di Parlimen mengenai isu tersebut, ia tidak berlaku. Bahkan Yang di-Pertua Dewan Rakyat memberi ketetapan (ruling) yang tidak memberi keadilan kepada mangsa seksisme dan pemangsa atau pesalah terus bebas, terlepas daripada sebarang denda, termasuk tuntutan memohon maaf dari mangsa seksisme.”
 
Seksisme yang berpunca daripada sifat dan pemikiran yang ingin mendominasi yang lemah akan menghasilkan dasar dan peraturan-peraturan yang seksis juga. Ia mendiskriminasi wanita dalam semua aspek dan wanita akan dipinggirkan dalam kebanyakan bidang, khususnya dalam proses membuat keputusan. Pendiskriminasian tersebut akan memberi kesan negatif terhadap  kesejahteraan wanita dan secara tidak langsung juga akan memberi kesan negatif terhadap kesejahteraan rakyat Malaysia yang kebanyakannya dipelihara dan dididik oleh wanita.
 
Zuraida Kamaruddin menyeru agar sekalian wanita dan lelaki, khususnya Ahli-Ahli Parlimen agar bergandingan dalam memastikan seksisme hapus sepenuhnya di Parlimen Malaysia. Perbezaan parti mesti diketepikan demi menjamin kedudukan mulia wanita yang telah diiktiraf oleh konvensyen-konvensyen dan badan-badan dunia.

“Kaukus Parlimen Wanita perlu segera aktif semula dalam mengarusperdanakan gender, sekali gus melenyapkan sebarang bentuk seksisme, khususnya di Parlimen,” kata Zuraida.

 
Undang-undang bagi mengawal daripada berlakunya seksisme juga perlu dititik beratkan.
Idealisme politik Pakatan Rakyat sewajarnya menjadikan Negeri-negeri Pakatan Rakyat contoh terbaik dalam menangani isu seksisme ini.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s